Kematian kadet PALAPES UTM bukan sebab didera – Menteri Pertahanan

KUALA LUMPUR – Hasil siasatan jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.

Mangsa, Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (PULADA), Skudai, pada 28 Julai lalu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.

Menurut beliau, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.

“Malah jurulatih yang mengendalikan latihan memberi keterangan bahawa semua aktiviti mematuhi piawaian keselamatan.

“Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Kota Tinggi juga mengesahkan tiada kesan kecederaan pada jasad Allahyarham dan dapatan ini selari dengan hasil siasatan pihak polis,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tahun 2025 di Wisma Perwira, lapor BH pada Rabu.

Khaled berkata, kejadian berlaku pada hari kedua sesi latihan berjalan iaitu semasa mangsa menjalani latihan inokulasi tempur disertai lebih 30 pelatih serta jurulatih.

“Dia keluar dari situ (latihan), itu yang dia dalam keadaan-keadaan yang membawa kepada dia akhirnya meninggal dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Khaled berkata laporan perubatan mengesahkan semua bantuan awal diberikan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Punca sebenar kematian akan diketahui selepas laporan penuh bedah siasat terperinci diperoleh daripada pihak hospital, dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan sebelum dapat mengesahkan Ponca sebenar kematian.

“Pada masa ini masih menunggu analisis makmal (pending laboratory analysis),” katanya memetik akhbar itu.

Menurut Khaled lagi hasil siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah, bagaimanapun pihak ATM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis jika siasatan mendapati bukti baharu yang menunjukkan keadaan sebaliknya.

Untuk rekod, Khaled pada 2 Ogos lalu mengumumkan satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi menyiasat kematian Syamsul Haris terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketika ditanya mengenai permintaan keluarga untuk menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat mangsa, Khaled berkata pihaknya menyerahkan keputusan itu kepada pihak polis atau hospital.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat