KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menggesa erajaan menyegerakan pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 sekali gus memperbaiki kelompangan yang wujud dalam perundangan itu terutama untuk menangani amalan seperti kartel, monopoli dan antipersaingan.
Menurut beliau pindaan yang akan dilakukan itu berupaya membantu dalam memperkasa peranan serta mandat diberikan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam menangani kegiatan sedemikian.
Pindaan itu wajar disegerakan memandangkan sasaran ditetapkan melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) (untuk pindaan akta itu) hanya akan dibuat pada 2030….(itu terlalu) lambat,” katanya ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat semalam.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut mempersoal tindakan MyCC yang diambil hanya di peringkat pasca pelaksanaan dalam usaha untuk menangani kegiatan kartel, monopoli dan anti persaingan yang dipercayai berisiko untuk mengganggu perjalanan pelaksanaan RMK13 sekiranya tidak ditangani.
“Mengapa tindakan oleh MyCC hanya diambil pada peringkat pasca pelaksanaan, iaitu selepas sesuatu perolehan, pengoperasian atau penyampaian perkhidmatan selesai dijalankan.
“Adakah kuasa yang diberikan kepada MyCC terlalu terbatas sehingga tidak mampu bertindak sewaktu proses perolehan sedang berjalan, atau situasi ini mencerminkan kelewatan yang disengajakan dalam pelaksanaan kuasa penguatkuasaan yang sepatutnya lebih proaktif.
“Adakah ini strategi ‘tunggu dan lihat’ yang disengajakan,” katanya.
Jalaluddin berkata, situasi berkenaan menimbulkan tanda tanya tentang keberkesanan pemantauan awal serta keupayaan pencegahan terhadap isu-isu seperti penipuan bida atau pembentukan kartel sejak dari peringkat awal proses perolehan.
“Kebanyakan tender berkait rapat dengan kepentingan awam dan tindakan MyCC ini melengahkan apa yang seharusnya dinikmati oleh orang awam dan ia juga seakan-akan menindakkan hak orang awam secara tidak langsung,” katanya.
Dalam soal pemantauan, pengesanan dan siasatan terhadap sebarang unsur kartel atau pakatan bida, beliau berkata MyCC boleh bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk memberi pendedahan, mendidik dan menyenaraikan garis panduan jelas untuk rujukan kontraktor di Malaysia di peringkat awal, sebelum pendaftaran atau lesen diluluskan dan dikeluarkan oleh pihak CIDB.
“MyCC perlu bekerjasama dengan CIDB kerana mereka mempunyai kontraktor berdaftar gred 1 hingga 7, di mana mengikut rekod terdapat 131,570 kontraktor.
“Jadi sangat wajar MyCC bekerjasama dengan CIDB. Ia supaya proses penilaian kelayakan kontraktor, audit projek berprofil tinggi dan penapisan pemegang lesen bagi memastikan persaingan hebat dapat ditegakkan tanpa menzalimi pemain industri yang belum pernah bersalah,” katanya.
Jalaluddin berkata, situasi berkenaan menimbulkan tanda tanya tentang keberkesanan pemantauan awal serta keupayaan pencegahan terhadap isu-isu seperti penipuan bida atau pembentukan kartel sejak dari peringkat awal proses perolehan.



