KUALA LUMPUR – Di mata ahli UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sekadar Presiden tetapi pejuang yang berusaha menyelamatkan parti daripada terus dipinggir dan dihapuskan musuh politiknya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata Ahmad Zahid memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan UMNO, terutama dalam situasi yang mencabar.
Membidas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bahawa Ahmad Zahid bukan seorang ‘hero’, Mohd Razlan berkata, walaupun berdepan pelbagai tuduhan dan kes mahkamah, Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri tetap teguh dengan pendiriannya untuk mempertahankan UMNO.
Antara yang dilakukan Ahmad Zahid, katanya termasuk memimpin UMNO selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), mengukuhkan perpaduan dalam parti dan membentuk kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH), yang membawa Barisan Nasional (BN) kembali ke dalam kerajaan.
Selain itu, mempertahan hak Melayu dan Islam serta menyelamatkan aset parti supaya tidak hilang atau dibekukan melalui tindakan undang-undang.
“Beliau dilihat sebagai ‘hero’ oleh penyokong kerana keberaniannya berhadapan dengan tekanan politik yang hebat.
“Peranan dan jasa Zahid Hamidi ini menjadikannya seorang ‘hero’, tokoh penting dalam usaha menyelamat dan mengembalikan kekuatan UMNO di pentas politik Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands di Lipis, Sabtu lalu, Ahmad Zahid secara terbuka mengakui beliau ialah dalang utama yang terbabit menggulingkan Dr Mahathir dalam usaha menyelamatkan UMNO daripada diharamkan.
Ahmad Zahid menyifatkan tindakan luar biasa itu penting untuk menentang Dr Mahathir yang didakwanya ketika itu mahu membatalkan pendaftaran UMNO.
Susulan itu, Dr Mahathir menegaskan peletakan jawatannya hingga membawa kepada kejatuhan pentadbiran PH empat tahun lalu tiada kaitan langsung dengan Ahmad Zahid, sebaliknya berpunca daripada partinya, iaitu BERSATU yang menunjukkan mereka sudah hilang kepercayaan terhadapnya.
Dr Mahathir berkata, tindakan itu juga tiada kena mengena dengan nasihatnya kepada Ahmad Zahid supaya membubarkan UMNO, justeru meminta Ahmad Zahid tidak mendabik dada sebagai ‘hero’ yang menjatuhkan beliau dan menyelamatkan UMNO.
Mengulas lanjut, Mohd Razlan yang juga Setiausaha Politik Ahmad Zahid, berkata ketika fenomena “Bossku”, gelaran yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghantui Dr Mahathir, pelbagai kenyataan dibuat bagi menempelak mereka yang menyokong Najib.
Katanya, Dr Mahathir juga melantik mereka yang membenci UMNO menjawat jawatan seperti Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kemudian dikatakan membawa kepada aset UMNO dibekukan dan Bahagian serta pemimpin UMNO diheret ke mahkamah.
“Atas nama perjuangan mempertahan maruah dan hak Melayu, rakyat menyatukan kekuatan menentang Mahathir. Ini jelas dilihat dalam kekalahan demi kekalahan dialami PH pimpinan Mahathir dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca PRU14.
“Perjuangan itu tidak hanya mengenai Zahid Hamidi atau Datuk Seri Najib tetapi lebih kepada mempertahankan prinsip, warisan dan masa depan UMNO sebagai parti yang membela bangsa Melayu dan agama Islam,” katanya. – BH