Oleh: Zihan Zari
ALOR SETAR – Orang ramai digalakkan menderma buku-buku yang tidak digunakan dan masih dalam keadaan baik di Bank Buku di setiap Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri di seluruh negara.
Bank Buku diilhamkan oleh Pengerusi Persatuan Penulis Tamil Iyal Malaysia, Cik Pon Kogilam yang menyampaikan idea ini untuk bekerjasama dengan Perpustakan Negara Malaysia (PNM) bagi menjayakan inisiatif ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami berkata demikian ketika berucap pada program ‘Dariku Untukmu’ dan majlis sumbangan buku kepada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kedah Digital Library pada Ahad.
Turut hadir, Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat Perpaduan merangkap merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakan Awam Kedah (PPAK), Dato’ Hjh. Halimaton Shaadiah Saad; Ketua Pengarah PNM , Salasiah Abdul Wahab; Pengarah PPAK, Shahizan Affandi Zakaria; dan Penasihat Persatuan Iyal Kedah, Dr. Ganesan Arumugam.
Saraswathy berkata, perpustakaan adalah tempat menyimpan pelbagai sumber ilmu dan maklumat di samping menyediakan perkhidmatan perpustakaan untuk kegunaan orang ramai yang dahagakan ilmu dan pengetahuan.
Pelbagai faedah yang akan diperolehi sekiranya banyak membaca yang boleh meningkatkan kadar kecerdasan minda dan menambah pengetahuan seseorang individu, di samping dapat memerdekakan minda.
Beliau berkata, bagi meningkatkan koleksi bahan bacaan, program pertama sumbangan buku kepada SJKT di Lembah Kelang telahpun dilaksanakan pada 17 Julai lalu di PNM.
Menurutnya, sebanyak lapan buah SJKT dari Selangor dan tiga buah sekolah dari Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia.
Di Kedah pula melibatkan sebanyak 16 buah SJKT, masing-masing menerima sumbangan buku sebanyak 200 naskhah.
Antaranya, SJKT Ladang Victoria; SJKT Ladang Bukit Selarong; SJKT Arumugam Pillai; SJKT Kulim; SJKT Mahajothi; SJKT Barathy; SJKT Ladang Scarboro Bahagian 2; SJKT Ladang Sungai Bongkok; SJKT Ladang Batu Pekaka; SJKT Kalaivani; SJKT Ladang Somme; SJKT Taman Keladi; SJKT Ladang Kuala Muda Bahagian Home; SJKT Sungai Tok Pawang; SJKT Padang Meiha; dan SJKT Anak Kulim.
Menurutnya lagi, buku-buku ini adalah hasil sumbangan daripada Persatuan Digital Association Of Women In Malaysia (DawN Malaysia), dan PNM sendiri.
“Ianya dapat menambahkan lagi bilangan buku-buku di semua perpustakaan SJKT dan menanamkan minat membaca di kalangan pelajar-pelajar sekolah.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan sehingga hujung bulan Ogos dan berterusan. Selepas itu, buku-buku yang diterima akan diagihkan kepada sekolah-sekolah SJKT yang akan dikenal pasti,” katanya.
Beliau menyeru kepada semua pihak agar idea ini dapat diwar-warkan dengan meluas dan sumbangan buku boleh disalurkan terus kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri di setiap negeri.
“Pelaksanaan program ini amat bermakna dalam menyuburkan lagi budaya membaca di negara kita.
“Budaya membaca itu sendiri adalah antara nilai-nilai murni yang wajib diamalkan sepanjang hayat kerana tiada had umur dalam menimba ilmu pengetahuan.
“Sejarah telah merakamkan bahawa bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membaca.
“PNM akan terus memperbanyakkan aktiviti galakan membaca kepada semua lapisan masyarakat agar minat membaca boleh dijadikan rutin harian dalam melahirkan Malaysia Madani seperti yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Program sumbangan buku ini diharap akan menjadi satu teladan kepada semua lapisan masyarakat dan terus menyumbang buku kepada sekolah-sekolah yang memerlukan.
“Semua pihak diseru menguar-uarkan program ini dan sumbangan buku bolehlah disalurkan terus kepada Perbadanan Perpustakaan Awam di setiap negeri,” ujarnya lagi.
Sementara itu, menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat, PNM memaklumkan, keseluruhan buku yang disumbangkan sebanyak 3,200 naskhah meliputi buku fiksyen kanak-kanak dan dewasa, pendidikan, bahasa dan sastera, bacaan ringan, motivasi dan nilai-nilai murni.
“Antara objektif yang disasarkan adalah untuk menyediakan ekosistem pendidikan berkualiti dalam menyokong pembelajaran sepanjang hayat bagi pelaksanaan Sustainable Development Goals 4 (SDG4) dan menggalakkan perpaduan melalui aktiviti pembacaan,” kata kenyataan itu lagi.
Program ini dianjurkan oleh PPAK dengan kerjasama Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia Kedah; Persatuan Penulis Tamil Iyal Malaysia dan DawN Malaysia.-SUARA.TV