GUA MUSANG – Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mendedahkan pimpinan Jaringan Komuniti Orang Asli Kelantan (JKOAK) memaklumkan lebih 40 tahun Kerajaan Persekutuan gagal menjaga kebajikan mereka di Gua Musang.
“Satu yang kita rasa gembira, mereka maklum Orang Asli sekarang tidak macam dulu.
Ujarnya, agensi Kerajaan Persekutuan khususnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini.
“Seperti yang disebut oleh calon PN, Mohd Rizwadi Ismail, untuk membangunkan masyarakat Orang Asli selain daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, pimpinan setempat iaitu wakil rakyat juga perlu memainkan peranan.
“Kita baharu sahaja menang di Gua Musang kali pertama di Paloh dan Nenggiri pada pilihan raya sebelum ini.
“Baru penggal ini sahaja. Di mana tanggungjawab wakil rakyat sebelum ini?” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, malah kini masyarakat Orang Asli telah membuka jalan kepada PN untuk masuk ke kawasan mereka.
“Orang Asli kini terdedah dengan maklumat semasa dan diharap ada sinar baru dengan PRK (Pilihan Raya Kecil) kali ini,” katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan Timbalan Pengarah PRK DUN Nenggiri, Mohd Syahbuddin Hashim menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang meminta masyarakat Orang Asli memberi undi sama rata kepada calon PN dan BN pada 17 Ogos ini adalah tindakan terdesak.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
-SINAR HARIAN