GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menggariskan pembangunan modal insan, ekonomi, perumahan generasi muda dan talian komunikasi sebagai manifesto ditawarkan kepada penduduk Nenggiri jika dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini.
Awie berkata, kesemua fokus itu mencakupi seluruh keperluan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Bagaimanapun, menurutnya, beliau memberi penekanan utama dengan melengkapkan anak-anak muda dengan modal insan yang baik supaya mereka lebih berdaya saing dan tidak menjadikan kawasan luar bandar sebagai halangan mencipta kejayaan lebih gemilang.
“Aspek ekonomi turut diberi perhatian secara holistik disebabkan Nenggiri terletak di luar bandar dan kaya dengan tanah pertanian berasaskan kelapa sawit dan getah.
“Jadi saya akan cuba beri nafas baharu dengan pertanian lebih tersusun dan moden mengikut perkembangan semasa yang tidak perlukan fokus kepada penjagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Awie berkata, perumahan generasi muda turut diberikan perhatian dan perkara tersebut sudah dibangkitkan beliau semasa berada di Majlis Perundingan Belia.
Katanya, dalam masa sama perumahan untuk generasi kedua akan turut diberikan perhatian secara tuntas.
“Alhamdulillah, Kerajaan Persekutuan telah melancarkan Pusat Pertumbuhan Daerah (PPD) di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
“Insya-Allah, saya akan berjuang bersama generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk memajukan lagi Perasu,” ujarnya.
Awie berkata, masalah talian komunikasi di DUN Nenggiri turut diberikan perhatian kerana ia merupakan salah satu keperluan mendesak.
“Sebab itulah Nenggiri perlu seiring dengan Persekutuan supaya lebih banyak limpahan nikmat dapat dinikmati oleh penduduk,” ujarnya.
-UTUSAN