PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan SPR telah menetapkan 28 September depan bagi hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Jelasnya lagi, bagi tarikh penamaan calon pula pada 14 September, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 24 September 2024.
“Sejumlah 66,318 pemilih terlibat membabitkan peruntukan kos kira-kira sebanyak RM2.4 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK berkenaan sebentar tadi.
Ini adalah PRK ke-9 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu dan PRK Sungai Bakap.
SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.
Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.
Beliau menewaskan calon PH, Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi. Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon WARISAN, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.