GUA MUSANG – Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau menjadi orang paling tersohor di Malaya apabila selipar, kasut, stoking yang dipakainya mencuri tumpuan sepanjang tempoh berkempen.
“Ambo (saya) ini ceramah setiap malam. Akhir-akhir ini sohor (terkenal) sangat.
“Sampai hal seluar dalam. Ambo (saya) ini ibarat kemuncup lekat di seluar dalam,” katanya semasa Ceramah Umum PRK Nenggiri di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Asap di sini pada Isnin malam, lapor Sinar Harian.
Semalam, Ahli Majlis Kerta Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi mencadangkan kepada Tan Sri Annuar Musa agar berlakon susah di depan rakyat.
Katanya, Annuar sepatutnya “berlakon” dan tak perlu mengenakan pakaian mewah ketika berkempen kerana kononnya memperjuangkan masyarakat miskin.
“Viral beberapa gambar Annuar Musa pakai barang jenama LV. Baju LV. Jam tangan LV. Selipar pun LV. Ia ekoran Annuar pakai baju Louis Vuitton masa bagi maggie mee pada pengundi orang asli.
“Kesian Annuar. Tak salah dia pakai barang berjenama. Betul, itu pitih dia. Tetapi berpada padalah. Lain kali jangan over bila cakap rakyat hidup susah. Tetapi kamu pula pakai LV.
“Berlakonlah sikit. Pakai kopiah dan kain pelekat cop gajah duduk. Annuar kata, ahli Pas yang tuduh DAP kafir harbi tersasul cakap. Tapi pakai baju Louis Vuitton tidak mungkin tersasul,” tulis Puad menerusi Facebooknya.
Dalam ceramah Annuar Musa di Jeram Tekoh, beliau berkata isu pakaiannya tidak sepatutnya menjadi isu di Neggiri.
Katanya, pakaian itu dibeli dengan menggunakan wangnya sendiri dan tidak perlu dipertikai.