KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad enggan mengulas sama ada kekal dengan pendirian meletakkan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Beliau malah tidak memberikan jawapan sama ada mempertimbangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu dirinya memikirkan semula jawatan dalam Kabinet.
“Tiada komen tentang itu (letak jawatan atau pertimbangkan semula tawaran).
“Saya datang majlis hari ini sebab ia sudah dirancang sebelum saya menghantar surat peletakan jawatan.
“Kebetulan acara ini juga berada di dalam Parlimen saya (Parlimen Setiawangsa), jadi saya hadir sebagai tanda sokongan hari ini,” katanya ditemui selepas menghadiri Royal Selangor Eco Week 2025 di Royal Selangor Visitor Centre, lapor Utusan pada Jumaat.
Semalam, Anwar memaklumkan beliau masih memberi masa kepada dua Menteri yang meletakkan jawatan untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.
Anwar juga mahu melihat Nik Nazmi dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kembali menyertai Kabinet.
Sebelum ini, Anwar hanya meluluskan permohonan cuti mereka bagi memberi ruang mempertimbangkan semula keputusan masing-masing, dan bukannya meluluskan peletakan jawatan.
Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan pada 28 Mei lalu, yang berkuatkuasa pada 4 Julai ini.