Saya masih Ahli Parlimen Bukit Gantang – Syed Abu Hussin

- Advertisement -

IPOH – Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yakin bahawa beliau masih Ahli Parlimen Bukit Gantang kerana beliau bukan berhenti, sebaliknya dipecat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, pada 12 Jun beliau telah menerima satu notis dari Setiausaha Agung Bersatu yang memaklumkan bahawa namanya telah dikeluarkan daripada sistem keahlian parti.

Syed Abu Hussin merujuk kepada perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa kerusi seseorang Ahli Dewan Rakyat akan menjadi kosong jika setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan parti politik itu; atau dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik, dia menyertai satu parti politik sebagai anggota.

“Perlembagaan Persekutuan telah secara khusus merujuk ketiga-tiga syarat pengosongan kerusi Dewan Rakyat itu menggunakan perkataan ‘dia’ yang merujuk khusus kepada tindakan/pengumuman seorang Ahli Dewan Rakyat, bukan tindakan atau pengumuman dari mana-mana pihak ketiga.

“Ini bermakna, hanya Ahli Dewan Rakyat itu sahaja yang berhak membuat pengisytiharan bahawa beliau sama ada ‘melepaskan keanggotan parti politik beliau’ atau beliau yang mengisytiharkan bahawa beliau sudah ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik itu’ ; atau; sekiranya beliau seorang Ahli Dewan Rakyat yang menang secara bebas, beliau sendiri yang mengisytiharkan bahawa ‘beliau telah menyertai satu parti politik sebagai anggota parti politik itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syed Abu Hussin berkata, dalam situasinya, beliau dengan jelas dan konsisten sentiasa menyatakan bahawa beliau adalah ahli Bersatu.

“Saya menyokong tujuan dan matlamat Bersatu, antaranya menjunjung kemuliaan dan kedaulatan insititusi Raja Berpelembagaan, menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memperkasa agenda memerangi rasuahdan salah guna kuasa, memperjuangkan keadilan sosial, membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

“Oleh itu, saya akan menyokong mana-mana pihak yang menyokong tujuan dan matlamat parti Bersatu ini, termasuk dari pihak komponen Parti Perikatan Nasional dan Kerajaan,” ujarnya.

Ini, jelasnya, termasuk usaha untuk membantu kawasan Parlimen Bukit Gantang, bagi membolehkan rakyat di kawasannya mendapat bantuan kebajikan, pembiayaan projek membuat jalan, pembangunan kemudahan infrastruktur, mengadakan program komuniti dalam masyarakat, memberi bantuan untuk pesakit yang amat memerlukannya, memberi agihan makanan kepada golongan yang memerlukan, membuat persiapan banjir dan pengurusan pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen.

“Daripada penjelasan berkenaan Perkara 49(A)(1)(a)(i), 49(A)(1)(a)(ii) serta Perkara 49(A)(1)(b) di atas, jelaslah bahawa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan Yang DiPertua Dewan Rakyat mengisytiharkan bahawa kerusi saya perlu dikosongkan,” tambahnya.

Di suatu sudut yang lain pula, kata Syed Abu Hussin, Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 49A(2) telah menyatakan dengan jelas bahawa terdapat tiga bentuk tindakan dari pihak ketiga yang tidak langsung menjejaskan kedudukan seorang Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, tiga tindakan pihak ketiga itu adalah pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya; pelepasan keanggotaan daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang di-Pertua dan pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

Beliau mendakwa, muslihat Bersatu membuat pindaan perlembagaan adalah untuk memecat keanggotaannya, membuat ugutan terbuka seperti yang dilakukan oleh pimpinan kanan parti itu serta siri keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang mencari ikhtiar menggugurkan keanggotaannya merupakan satu tindakan yang bersifat ‘constructive dismissal’.

Menurutnya, apabila Bersatu menghantar notis rasmi bahawa namanya telah dikeluarkan daripada senarai keahlian parti, bermakna mereka telah mengambil tindakan untuk memecatnya.

“Perkara 49A(2)(c) telah jelas menyatakan bahawa kedudukan saya selaku ahli Dewan Rakyat tidak terhenti apabila Bersatu memecat saya daripada keanggotaan parti setelah nama saya dikeluarkan daripada senarai keahlian,” tambahnya.

Dakwanya lagi, pindaan Perlembagaan Bersatu yang sengaja dibuat untuk memecat keahliannya itu mempunyai unsur berniat jahat (mala fide) serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan (unconstitutional).

Tambahnya, keabsahan pindaan perlembagaan parti itu bersabit kedudukan Ahli Dewan Rakyat adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, bukan sebaliknya.

“Dengan itu, pindaan perlembagaan Bersatu itu tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan saya sebagai Ahli Dewan Rakyat.

“Saya menaruh keyakinan yang tinggi kepada kebijaksanaan Tan Sri (Johari Abdul) Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Saya percaya beliau akan menggunakan sepenuh kebijaksanaan untuk membuat keputusan bahawa notis yang dihantar oleh Bersatu itu telah mengesahkan bahawa saya telah dipecat secara rasmi dan kini menjadi Ahli Dewan Rakyat bebas serta tindakan Bersatu memecat saya itu tidak menghentikan kedudukan saya selaku Ahli Dewan Rakyat yang mewajarkan saya untuk mengosongkan kerusi,” ujarnya.

Syed Abu Hussin menegaskan, walaupun telah dijadikan Ahli Dewan Rakyat bebas, beliau kekal dengan pendirian serta pandangan yang pernah disampaikan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan tertinggi parti.

Menurutnya, pengundi Melayu yang memberikan undi dan sokongan kepada Bersatu dan Perikatan Nasional, mengharapkan telah suara majoriti orang Melayu akan membentuk Kerajaan Persekutuan yang menjaga hak orang Melayu serta melaksanakan program-program serta inisiatif untuk kepentingan orang Melayu.

“Saya berpendapat masih belum terlambat untuk Bersatu dan Perikatan Nasional untuk mengenepikan seketika kepentingan peribadi dan kepentingan parti.

“Letakkanlah kepentingan orang Melayu dan umat Islam mengatasi kepentingan yang lain.

“Sama-sama lah kita memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan pastikan suara majoriti orang Melayu berpindah dari blok pembangkang ke blok kerajaan kerana itulah sebenarnya kedudukan yang selayaknya untuk orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk di negara ini,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan berkata, notis terhenti serta-merta keahlian parti telah diserahkan kepada enam wakil rakyat Bersatu kerana didakwa melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan parti.

Katanya, tindakan itu selaras dengan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang bermesyuarat pada 7 Jun lepas dan telah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat pada Selasa. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat