Yah Kuchai pelayan restoran, anak pemandu bas kilang

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Di sebalik lakonan selamba dan dialog ‘mi kari kuah laksa’ dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri yang tular, tiada siapa tahu kegetiran hidup pelakon watak Yah Kuchai ini.

Afea Deanna Baharudean, 21, berkata, dia yang bergelar pelatih Diploma Bahasa Inggeris dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim memohon kerja sambilan sebagai pelayan di restoran Sarang Art Hub milik pengarah siri ini Mamat Khalid.

Afea yang turut popular menerusi filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dan Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa ketika dihubungi berkata, dia mahu mencari duit poket sendiri dan tidak mahu membebankan kedua ibu bapanya.

“Saya anak ketiga daripada lapan adik beradik. Ayah belum pencen sebagai pemandu bas kilang. Namun disebabkan operasi kilang terjejas akibat Covid-19, pendapatan berkurangan.

“Ibu pula dulu kerja kilang tapi sudah setahun terpaksa berhenti kerja untuk menjaga adik bongsu berusia setahun lebih yang ada ekzema dan sawan.

“Alhamdulillah apabila uncle Mamat tawarkan saya berlakon, sekurang-kurangnya saya ada pendapatan dan dapat bantu mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Gadis berasal dari Tanjung Piai, Johor ini berkata, sekiranya ada tawaran daripada mana-mana penerbit selepas ini, dia akan menerimanya.

“Saya memang cari rezeki sekarang. Dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) keadaan ekonomi keluarga saya agak terjejas. Biasalah orang pun tak pandang sangat bila susah.

“Bagaimanapun saya akan terima tawaran sekiranya watak atau nama tidak sama dengan Yah Kuchai kerana saya hormat hasil karya uncle Mamat. Saya boleh bawa watak lain.

“Saya pernah terbabit dalam teater di bawah pengajian Diploma Bahasa Inggeris UPSI pada 2019. Watak saya sebagai wanita yang dicurangi. Sayangnya teater ini tak dapat dipentaskan akibat masalah kewangan,” katanya.

Ditanya reaksi kedua ibu bapanya apabila dia bergelar pelakon, Afea berkata kedua-duanya mempunyai pandangan berbeza.

“Ayah tak mengharapkan saya jadi pelakon atau penyanyi kerana tahu saya bagus dalam akademik. Dia mengharapkan saya menjadi guru atau penulis.

“Manakala ibu pula suka saya menyanyi. Apabila dia tahu saya masuk filem muzikal, dia amat gembira dan menangis terharu,” katanya yang turut meminati bidang nyanyian.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat