Bimbang, Pengundi Cina & India Semakin Jauh dari PH – Rafizi

- Advertisement -

PETALING JAYA, 13 Mei – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran bahawa penurunan mendadak sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) boleh memberi kesan besar kepada prestasi gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bercakap dalam sebuah acara kempen di Kedah malam tadi, Rafizi berkata data dalaman PKR menunjukkan semakin ramai pengundi Cina dan India yang dahulunya menyokong PH kini memilih untuk menjauhkan diri daripada politik.

“Kita patut bimbang dengan penyokong Cina. Sebanyak 32% daripada mereka kata tidak akan undi PH atau PKR. Mereka tidak akan undi Perikatan Nasional (PN) juga. Mereka tidak akan keluar mengundi,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa sokongan daripada pengundi India juga mengalami penyusutan yang ketara, dengan penurunan sekitar 38%.

Menteri Ekonomi itu berkata, situasi ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencerminkan kekecewaan akar umbi terhadap prestasi kerajaan perpaduan.

“Jika harga naik, kita tak boleh kata ‘semuanya baik-baik saja’. Jika kos sara hidup memberi kesan kepada orang ramai, kita perlu akuinya,” tambahnya lagi.

Rafizi turut menyentuh pola sokongan dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, yang menunjukkan ketidakstabilan dalam pemindahan undi antara parti gabungan kerajaan.

“Pengundi Umno pilih PN. Pengundi PH sokong BN di kerusi di mana BN lawan PN, tetapi apabila PH lawan PN, pengundi BN sokong PN,” katanya, sambil menegaskan bahawa kerjasama antara PH dan BN tidak menjamin sokongan secara automatik.

Dalam pada itu, beliau mempertahankan ketepatan dapatan tinjauan yang dijalankan oleh pasukannya berbanding firma kajian pihak ketiga.

“Merdeka Center tak ramal keputusan 2018. Mereka kata Najib Razak akan menang dua pertiga. Mereka tak tanya rakyat, siapa mereka akan undi. Kami tanya,” jelas beliau.

Rafizi juga menolak kritikan terhadap pendekatan kempen terbukanya yang disifatkan lebih telus dan berterus terang.

“Ini lebih baik daripada perjumpaan di hotel dan minta ketua cawangan bawa 40 orang untuk ‘selfie’,” katanya sinis.

Beliau menegaskan bahawa kejujuran dalam menyampaikan situasi sebenar kepada rakyat lebih penting berbanding pendekatan bersifat kosmetik semata-mata.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat