Yasin cipta lagu dalam tahanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Emosi yang bersarang tatkala dalam tahanan diluahkan Yasin Sulaiman yang berdepan tuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja, melalui untaian berjudul Bebaskan Aku seperti dikongsi komposer dan penyanyi itu di Instagram (IG), baru-baru ini.

Melalui nukilannya, dapat dilihat Yasin yang ditahan di Penjara Sungai Buloh lebih sebulan lalu, menterjemah segala gelodak jiwa yang dirundung sedih, sepi dan dibelenggu rindu.

Mengiringi perkongsian berbentuk lirik empat rangkap itu adalah pesanan penyanyi lagu Mimpi Laila itu yang mahu lagu berkenaan dikongsi kepada mereka yang cukup dekat dalam hatinya.

“Lagu ini dicipta Yasin ketika (ditahan) di Penjara Sungai Buloh. Yasin meminta lirik lagu ini dikongsi di IG untuk sahabat, teman dan peminat,” jelas kapsyen mengiringi entri berkenaan.

Turut disertakan latar masa lagu terbabit ditulis iaitu pada Syawal 1443 Hijrah bersamaan Mei 2022.

Menyorot setiap baris lirik yang ditulis Yasin bersama seorang teman dikenali sebagai Jo Tan, Yasin memulakan bicaranya dengan cuba meyakinkan dirinya dalam keadaan baik-baik sahaja.


Untaian berjudul Bebaskan Aku dikongsi Yasin di Instagram (IG), baru-baru ini. Foto IG Yasin Sulaiman

 

“Kuutuskan kata-kata di sebalik tirai besi, tanpa dapat kutitiskan air mata sepi, bila kukatakan semuanya baik di sini, kutak ingin mengaku rasa susah hati,” luahnya.

Menyoroti bait nukilannya, jelas Yasin meluahkan betapa dirinya enggan terus terseksa disebabkan kebebasan yang diragut.

Malah, bekas anggota kumpulan nasyid Brothers itu berharap dapat kembali mengecap kebebasan dan meneruskan kehidupan seperti dahulu.

“Tuhan lepaskan aku dari rantai ini, berikanku cahaya dari kegelapan ngeri, kuingin kembali pada yang kukasihi, dan hidup seperti dulu lagi,” coret Yasin pada rangkap ketiga lagu itu.

Meninjau ruangan komen, ramai peminat termasuk rakan selebriti menitipkan doa agar Yasin tabah mengharungi ujian itu serta percaya ada hikmah yang menanti di sebalik musibah yang berlaku itu.

Kisah penahanan pemegang trofi juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 2001 ini mendapat liputan meluas dan menarik perhatian ramai.

Malah ada yang bersimpati dengan nasib yang menimpa penyanyi yang terkenal dengan konsep ‘World Music’ itu selepas mendapat tahu dia bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Yasin tidak dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret atas dua pertuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 24 Mac lalu.

Yasin memulakan karier seni menerusi kumpulan nasyid Brothers sejak 1995. Dia juga mengungguli Anugerah Juara Lagu 2001 (AJL 2001) dengan lagu Mimpi Laila.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat