Pandemik jentik hati Ippo untuk berhijrah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 yang melanda dunia dua tahun lalu menjentik hati komposer dan penyanyi, Ippo Hafiz merenung semula kehidupan.

Terlalu leka dengan urusan dunia sehingga lalai mendekatkan diri dengan Tuhan, mendorong Ippo atau nama sebenar, Muhammad Hafiz Yaziz membuka lembaran baharu dan beristiqamah untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

Hidayah yang diterima sejak awal 2020 dimanfaatkan sebaik mungkin dengan saban hari Ippo belajar perkara baharu dalam mendekatkan dirinya dengan agama.

“Selama ini, saya banyak diberi kesedaran dan keinsafan. Sebelum pandemik, terlalu banyak urusan dunia saya utamakan sehingga lalai dalam perkara yang mendekatkan diri dengan Allah.

“Alhamdulillah, saya dapat hidayah pada era pandemik. Musibah yang didatangkan Allah bersama hikmah yang sangat besar untuk kita semua.

 

Ippo bersama isteri dan anak mereka. Foto IG Ippo Hafiz
 

“Semua ini membuka erti di sebalik ujian dan peluang yang datang,” katanya kepada BH Online.

Ippo berharap dirinya terus istiqamah dan diberi petunjuk lebih baik.

“Selama ini, saya mengaku diri pendosa kerana banyak melebihkan urusan dunia berbanding menjaga hubungan dengan Allah.

“Dahulu, saya sedar tidak ikut perintah Allah kerana selalu tunggu untuk mendapat hidayah. Sebenarnya, kita yang perlu minta daripada-Nya.

“Jika diikutkan, sehari Allah hanya minta kita luangkan waktu sekejap sahaja bersamanya dalam solat.

“Lama-kelamaan, saya malu dengan diri sendiri. Jadi, setiap kali tidur, saya selalu berdoa supaya pergi dalam iman. Saya juga selalu minta ibu bapa serta orang yang tidak dikenali beri hadiah untuk doakan saya,” katanya.

Biarpun mula berhijrah, Ippo mengakui dirinya masih individu sama.

“Penghijrahan ini bukan disebabkan pengaruh orang lain. Saya bersyukur saat Allah membuka hati dan cuba berusaha menjadi manusia lebih baik, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah orang keliling saya,” katanya.

Sementara itu, beberapa bulan lalu, Ippo yang mendapat jolokan Raja Runut Bunyi sempat menganjurkan dua projek amal di Kuantan, Pahang, bagi membantu insan memerlukan.

“Sebelum Ramadan saya anjurkan ‘showcase’ amal di Taman Bandar Kuantan. Pada akhir Ramadan pula saya anjurkan busking amal di Pasor Dinda.

“Kita dapat mengutip lebih RM1,000 dan diagihkan kepada enam keluarga di Tanjung Lumpur, Kuantan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya yang mendapat kerjasama Yayasan redONE bagi menjayakan program busking amal itu.

Ippo yang juga suami kepada Fara Roslan berharap program amal seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Ippo terus berkarya dengan cara tersendiri.

“Saya dalam proses menyiapkan lagu ciptaan bersama penyanyi Rendy Faliq berjudul Berbagi Cinta. Lagu itu sudah 80 peratus siap.

“Pada mulanya, Rendy buat demo lagu ini. Kemudian, saya olah dan gabungkan apa yang sesuai mengikut permintaan dan cita rasa Rendy,” katanya yang berharap Berbagi Cinta menjadi pilihan penerbit drama sebagai runut bunyi.

Tambah Ippo, lagu berkenaan berkisar perlunya manusia berkongsi cinta dan kasih sayang demi mewujudkan hubungan harmoni.

Selain itu, Ippo bakal tampil dengan single duet bersama pelakon Zara Zya, tidak lama lagi.

Berita harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat