CYBERJAYA – Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar dilantik sebagai Ketua Pengarah Lembaga Pengalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang baharu berkuat kuasa semalam, menggantikan Datuk Hj. Zainuddin Abdul Wahab yang bersara wajib pada 10 April 2023.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, Dr. Ammar telah berkhidmat di Tourism Malaysia selama 35 tahun sejak 23 Jun 1988 dan berpengalaman luas dalam sektor pelancongan negara.
“Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Pengarah Kanan, Bahagian Promosi Antarabangsa (Amerika/Eropah/Oceania).
“Pengalaman dan kredibiliti serta berkelulusan Doktor Falsafah dalam Pengurusan Hotel dan Pelancongan beliau, diyakini bukan sahaja dapat memperkuatkan dan modenisasi Tourism Malaysia mempromosikan pelancongan Malaysia, malahan juga dapat memperkasakan lagi sektor pelancongan tempatan.
“Banyak negara sudah membuka semula sempadan, MOTAC percaya beliau juga berupaya mengambil peluang emas ini memimpin Tourism Malaysia menarik lebih ramai pelancong melancong di Malaysia dan mengetuai misi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2025,” kata MOTAC dalam kenyataannya hari ini.
Dalam pada itu, Menteri MOTAC, Datuk Sri Tiong King Sing dan seluruh warga MOTAC turut mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut.
“Pada masa yang sama, Kementerian merakamkan setinggitinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Zainuddin atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau,” kata kenyataan itu lagi.