CYBERJAYA – Pusat Sains Negara (PSN) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempelawa semua murid sekolah di seluruh Malaysia dari tahun empat hingga tingkatan lima untuk menyertai Pertandingan National Tinkering Challenge (NTC) 2023.
Pendaftaran pertandingan ini dibuka mulai 10 April 2023 hingga 18 Mei 2023, pukul 12.00 tengah hari.
Pengarah Pusat Sains Negara, Mismah Jimbun berkata tujuan penganjuran pertandingan ini diadakan untuk menyemarakkan budaya inovasi dan pemikiran saintifik melalui aktiviti tinkering dalam kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda dan murid sekolah sebagai pemacu kepada sebuah Negara maju berteraskan sains dan teknologi.
“Pertandingan yang memasuki kali ke – 4 penganjurannya ini diteruskan kerana ia dilihat sebagai platform yang relevan bagi murid sekolah dan masyarakat untuk terus mereka cipta, berkreativiti dan berinovasi.
“Pada tahun ini, pertandingan terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori murid sekolah rendah (Tahun 4 hingga 6), sekolah menengah (Tingkatan 1 hingga 5) dan murid berkeperluan khas (Tahun 4 hingga Tingkatan 5).
“Tema bagi NTC 2023 adalah Lestari Untuk Kehidupan Sejagat (Sustainable for Global Life Being) dengan penekanan terhadap isu-isu global dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” katanya, menerusi kenyataan PSN hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, hadiah bagi pemenang tempat pertama kategori murid sekolah rendah adalah wang tunai RM2,000 beserta kit pendidikan bernilai RM400.
Manakala hadiah bagi pemenang tempat pertama kategori pelajar sekolah menengah dan murid bekeperluan khas merupakan wang tunai RM2,500 beserta kit pendidikan bernilai RM500.
Maklumat lanjut dan syarat penyertaan boleh didapati di laman web Pusat Sains Negara di alamat https://www.psn.gov.my/ntc/.



