KOTA KINABALU, — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia terus memperkukuh pembangunan industri pelancongan di Sabah menerusi penganjuran sesi taklimat bantuan geran pelancongan sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah itu menghimpunkan kira-kira 400 peserta terdiri daripada penggiat industri pelancongan, rakan strategik serta pelbagai pihak berkepentingan di Kota Kinabalu.
Sesi taklimat berkenaan bertujuan memberikan penerangan menyeluruh mengenai pelan strategik VM2026 selain memperkenalkan pelbagai bentuk insentif dan bantuan geran yang ditawarkan kepada pemain industri. Antara skim yang diketengahkan termasuk Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), Geran Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) serta Skim Insentif Seni Ruang, Kepakaran dan Khidmat Nasihat di bawah JKKN.
Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Sabah, Cik Haryanty Abu Bakar berkata, Kempen Melawat Malaysia 2026 bukan sekadar inisiatif promosi pelancongan, sebaliknya satu gerakan nasional yang mencerminkan semangat perpaduan dan kepelbagaian budaya Malaysia.
“Melalui siri taklimat ini, kami berharap para penggiat industri di Sabah dapat bergerak secara lebih proaktif dan inovatif dalam mempromosikan produk pelancongan tempatan sekali gus meningkatkan ketibaan pelawat ke negeri ini,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran sesi taklimat siri ketiga itu juga bertujuan menggalakkan pembangunan produk pelancongan baharu yang berdaya saing serta menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
Sabah yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya serta produk pelancongan unik dilihat mempunyai potensi besar untuk terus menyumbang kepada kejayaan VM2026.
Kempen tersebut yang bertemakan “Surreal Experiences” bakal menampilkan pelbagai program berskala nasional sepanjang tahun, termasuk festival kebudayaan, acara komuniti, pameran dan aktiviti promosi antarabangsa bagi menarik pelawat dari seluruh dunia.
Prestasi sektor pelancongan negara yang memberangsangkan pada tahun 2025 dengan catatan 42.2 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, turut menjadi pemangkin kepada usaha memperhebat kempen VM2026.
Selain meningkatkan ketibaan pelawat, inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi tempatan serta memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul di peringkat antarabangsa. Industri berkaitan seperti pengangkutan, peruncitan, kraf tangan dan perusahaan kecil dan sederhana turut dijangka mendapat manfaat daripada momentum pertumbuhan tersebut.



