KUANTAN, — Seramai 3,000 penerima daripada golongan asnaf dan kurang berkemampuan diraikan dalam Program Sinar Syawal MADANI Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan 2026 yang berlangsung di Jakel Kuantan, hari ini.
Program kebajikan sempena sambutan Aidilfitri itu menyaksikan penyampaian sumbangan baucar pakaian Hari Raya bernilai RM200 kepada setiap penerima sebagai usaha meringankan beban persiapan menjelang Syawal.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Farhan Fauzi berkata, beliau hadir mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyalurkan sumbangan tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif kesejahteraan rakyat di bawah aspirasi Malaysia MADANI.
Menurut beliau, bantuan yang diberikan diharap dapat memastikan kegembiraan menyambut Aidilfitri dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan memerlukan.
Antara penerima yang diraikan termasuk pelajar tingkatan lima dan enam daripada keluarga asnaf, pelajar sekolah rendah kategori asnaf, anak-anak yatim, pelajar maahad tahfiz, golongan ibu tunggal serta keluarga kurang berkemampuan di sekitar Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan.
Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Azaha Awang; Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Shaiful-Azizi Sukri Mohd Kassim; Pengarah Jakel Kuantan, Suhaimi Abdul Aziz; serta Mudir Pusat Pendidikan Ribath Al Musthofa Kuantan, Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab.
Ahmad Farhan berharap program seumpama itu dapat terus dilaksanakan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat selain membawa kegembiraan kepada penerima menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.



