KUALA LUMPUR — Dakwaan bahawa Ketua Pesuruhjaya Azam Baki memiliki saham bernilai kira-kira RM14 juta dalam sembilan syarikat kini berlegar berlegar dalam kalangan sumber di Putrajaya, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai hasil siasatan yang masih belum didedahkan secara terperinci kepada umum, jelas Rafizi Ramli.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, berdasarkan maklumat yang beredar, siasatan didakwa mendapati jumlah saham yang dimiliki mencecah RM14 juta dalam sembilan syarikat selain pembelian saham tersebut tidak mendapat kelulusan atau tidak diisytiharkan seperti yang sepatutnya.
“Maklumat yang kini berlegar di Putrajaya menyebut bahawa jumlah saham yang dimiliki mencecah RM14 juta dalam sembilan syarikat dan pembelian saham-saham itu tidak mendapat kelulusan atau tidak diisytiharkan seperti yang sepatutnya.
“Perkara ini menimbulkan persoalan serius mengenai hasil siasatan sebenar kerana sehingga kini kerajaan masih belum mendedahkan dapatan penuh kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rafizi, jika kerajaan tidak mengumumkan hasil siasatan secara telus termasuk jumlah saham yang terlibat, jumlah syarikat serta bagaimana pelanggaran itu berlaku, spekulasi mengenai isu berkenaan akan terus berlegar.
“Selagi kerajaan tidak mengumumkan hasil siasatan secara telus termasuk jumlah saham yang terlibat dan syarikat yang terbabit, spekulasi mengenai perkara ini akan terus bertiup kencang.
“Pada satu ketika, perkara ini juga akan terus dilaporkan oleh pihak media seperti mana beberapa pendedahan yang telah muncul sebelum ini,” katanya lagi.
Beliau berkata rakyat berhak mengetahui perincian hasil siasatan kerana jika jumlah saham yang ditemui benar-benar mencecah RM14 juta seperti didakwa, isu berkenaan tidak wajar ditangani sekadar sebagai pelanggaran peraturan penjawat awam.
“Jumlah saham sebanyak RM14 juta juga menimbulkan persoalan mengenai punca kekayaan kerana ia tidak sepadan dengan pendapatan seorang penjawat awam kanan,” tambahnya.
Tambah Rafizi, lazimnya apabila seseorang disiasat kerana punca kekayaan yang meragukan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil beberapa tindakan termasuk membekukan akaun individu terlibat, mengarahkan pengisytiharan harta serta mendakwa individu tersebut sekiranya gagal membuat pengisytiharan.
“Lazimnya apabila seseorang disiasat kerana punca kekayaan yang meragukan, akaun individu itu akan dibekukan dan mereka perlu membuat pengisytiharan harta.
“Sekiranya gagal mengisytiharkan harta, individu terbabit boleh didakwa di mahkamah,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan segera mengumumkan secara terperinci hasil siasatan berhubung isu berkenaan bagi mengelakkan spekulasi berterusan.
“Sekiranya dakwaan bahawa jumlah saham yang terlibat adalah RM14 juta dalam sembilan syarikat itu benar, kegagalan kerajaan menyiasat punca kekayaan akan dilihat sebagai bukti kerajaan bersubahat untuk melindungi Tan Sri Azam Baki.
“Oleh itu, kerajaan perlu segera mengumumkan secara terperinci hasil siasatan termasuk jumlah saham yang dimiliki serta syarikat-syarikat yang terlibat,” katanya.



