KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) telah memutuskan bahawa Ahli Sunah Waljamaah adalah mazhab rasmi negara ini dari segi perundangan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu diputuskan ketika Jawatankuasa Fatwa MKI bersidang pada 21 dan 22 Oktober lalu.
“Kerajaan telah mengambil beberapa langkah penting dalam memantapkan pendekatan Ahli Sunah Waljamaah yang bersifat wasatiyah, mengutamakan kesederhanaan dan mengurangkan pergeseran dalam kalangan umat Islam, terutama membabitkan perbezaan aliran.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada agenda penyatuan umat Islam di negara ini, sambil memberi penekanan kepada usaha memperkukuhkan pegangan Ahli Sunah Waljamaah dan menjauhi sikap ekstrem yang timbul akibat perbezaan pandangan serta aliran pemikiran,” katanya pada sidang Dewan Negara pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengena inisiatif Kerajaan Madani untuk menangani pertembungan pelbagai aliran pemikiran Islam yang boleh menjejaskan perpaduan ummah.
Zulkifli berkata, Jawatankuasa Fatwa MKI yang bersidang pada 5 Mei 1996 memutuskan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
Beliau berkata, antara usaha dan langkah kerajaan ialah pengukuhan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui kerjasama dengan institusi agama Islam negeri bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran agama Islam selari dengan prinsip-prinsip Ahli Sunah Waljamaah.
“Penyelarasan dan penyeragaman fatwa serta undang-undang syariah juga dilaksanakan secara teratur bersama pihak berkuasa agama negeri.
“Jawatankuasa Fatwa MKI adalah antara platform terbaik bagi menangani pertembungan aliran pemikiran ini. MKI bersidang sekurang-kurang tiga kali setahun untuk menyelaras serta menyeragamkan hukum-hukum fatwa agar menjadi rujukan peringkat kebangsaan dan peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata, medium khutbah Jumaat juga digunakan sebagai peringatan dan nasihat kepada umat Islam agar bersifat wasatiyah, harmoni, mementingkan keamanan dan perpaduan, serta menekankan aspek adab dalam menangani perbezaan dalam perkara khilafiah dan pihaknya turut menerbitkan teks khutbah Jumaat itu, selain menerbitkan beberapa buku termasuk ‘Adab al-Ikhtilaf fil Islam’ oleh Syeikh Dr Taha Jabir al-Alwani.
Di samping itu, kerajaan menjalankan pelbagai aktiviti dan program melalui pendekatan dakwah bil hal dan dakwah bil lisan untuk menyebarkan serta memantapkan kefahaman Islam yang sederhana dan meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
“Kerajaan terus memperkasakan program pendidikan dan keilmuan seperti program takmir di masjid dan surau, forum perdana ehwal Islam, majlis ilmu MADANI, daurah pengajian hadis dan sebagainya,” lapor Bernama.
Secara keseluruhan, beliau berkata, pendekatan digunakan dalam aliran pelbagai itu berlandaskan prinsip maqasid syariah dan Ahli Sunah Waljamaah dengan tujuan memelihara keharmonian serta perpaduan umat Islam.
Menjawab soalan tambahan Ros Suryati Alang mengenai kemungkinan pengeluaran garis panduan untuk penceramah pula, Zulkifli berkata, setiap negeri mempunyai jawatankuasa tauliah untuk memantau, mengawal dan meluluskan permohonan tauliah.
“Bagi menggalakkan penceramah atau pemegang tauliah memberi ceramah, kita sudah mempunyai undang-undang dan peraturan melalui pengawalan tauliah.
“Sekiranya terdapat pihak yang melanggar syarat dan etika tauliah, mereka akan dipanggil untuk diberikan nasihat. Jika tidak mengikut nasihat, tauliah mereka boleh digantung dan tidak diperbaharui,” katanya.