Bila sebut Ramadan di tanah tinggi, ramai yang terus terbayang suasana dingin, kabus nipis dan meja makan yang penuh dengan hidangan panas berasap. Tahun ini, Resorts World Awana mengajak kita menikmati pengalaman berbuka yang bukan sekadar tentang makanan, tetapi tentang perjalanan rasa merentas negeri menerusi tema “Iftar Pahang Timur-Barat”.
Terletak nyaman di Genting Highlands, lokasi ini menawarkan suasana yang cukup berbeza untuk berbuka puasa jauh dari hiruk-pikuk kota, dikelilingi kehijauan alam dan udara segar tanah tinggi. Kombinasi ini sendiri sudah cukup untuk menjadikan iftar anda lebih istimewa.
Sebaik azan Maghrib berkumandang, tetamu boleh memulakan langkah di sudut kurma yang menyediakan pilihan tempatan dan import. Kemudian, perjalanan rasa diteruskan dengan deretan manisan tradisional yang mengimbau memori lama kuih lapis berwarna-warni, onde-onde yang meletup manis di mulut, seri muka yang lembut berlemak, akok, bingka dan pelbagai lagi.
Bahagian ini terasa seperti ‘mini pesta kuih kampung’, sesuai untuk mereka yang rindu sentuhan tradisi di bulan mulia.

Apa yang membezakan bufet ini ialah fokusnya kepada citarasa Pahang. Dari pesisir pantai ke bandar, elemen Timur dan Barat negeri itu disatukan dalam satu ruang makan.
Antara yang mencuri perhatian sudah tentu Champion Kambing Golek yang dipanggang sempurna, serta Celup Tepung gaya Beserah yang rangup dan segar. Pada hujung minggu pula, aroma makanan laut bakar ala Tanjung Lumpur pasti menggoda selera.
Tak cukup dengan itu, gerai-gerai lain turut meriah dengan pilihan seperti satay, murtabak, roti john, laksa dan aneka mi. Pendek kata, memang susah nak buat keputusan semuanya nampak menyelerakan!
Bagi yang gemarkan lauk-pauk tradisional, hidangan seperti rendang tok, ayam masak merah, gulai kawah daging dan patin masak tempoyak menjadi antara pilihan wajib cuba. Disajikan bersama nasi beraroma dan sayur-sayuran klasik, ia benar-benar menggambarkan semangat masakan kampung yang kaya dengan rempah dan rasa.
Inilah jenis hidangan yang buat kita tambah nasi tanpa sedar.
Sebelum melangkah pulang, jangan lupa singgah di bahagian pencuci mulut dingin ais batu campur, cendol dan ais krim sentiasa menjadi kegemaran ramai. Minuman pula lengkap daripada sirap bandung dan teh tarik hinggalah variasi minuman buah-buahan yang menyegarkan.

Menariknya, kemeriahan Ramadan tidak terhenti di Awana sahaja. Di Jom Makan SkyAvenue, set Setalam Ramadan ditawarkan dengan hidangan ayam percik bersama nasi minyak dan ulaman pada harga yang cukup berpatutan.
Manakala di Jom Makan Street Food, promosi Aneka Kerabu memberi pilihan lebih ringan tetapi tetap membuka selera daripada pucuk paku hingga kerabu mangga dan pilihan makanan laut.
“Iftar Pahang Timur-Barat” bukan sekadar peluang untuk menjamu selera. Ia adalah ruang untuk berkumpul, berkongsi cerita dan mencipta momen indah bersama keluarga dan sahabat dalam suasana yang nyaman.
Dengan harga RM118 untuk dewasa dan RM68 untuk kanak-kanak, bufet ini berlangsung dari 20 Februari hingga 20 Mac 2026, bermula jam 6.30 petang setiap hari.
Kalau anda teringin berbuka dalam suasana yang berbeza tahun ini sejuk, santai dan penuh rasa nostalgia mungkin sudah tiba masanya untuk merancang satu malam Ramadan di tanah tinggi.



