Arahan henti siasat kes 1MDB diterima bila SPRM dapat pesuruhjaya baharu -saksi ke-49

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi beliau diarah tidak meneruskan siasatan skandal syarikat pelaburan strategik negara itu selepas pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin, 37, berkata arahan itu diterima beliau selepas Tan Sri Dzulkifli Ahmad menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016.

Saksi pendakwaan ke-49 itu yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaan utama berkata, beliau bagaimanapun tidak ingat siapa yang memberikan arahan berkenaan, tetapi ada membuat catatan dalam diari siasatan.

Disoal Ahmad Akram bagaimana perkara itu berkaitan dengan kes 1MDB, Nur Aida menjawab, “Ia bagi tujuan melindungi Datuk Seri Najib Razak daripada siasatan dan pendakwaan dalam kes ini.”

Nur Aida berkata demikian selepas mahkamah hari ini mendengar rakaman audio perbualan antara Najib, Rosmah dan bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Menurut saksi itu, kandungan perbualan berkaitan kes 1MDB yang disiasatnya iaitu berhubung laporan polis yang menyatakan wujud konspirasi antara bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Abu Kassim untuk menggulingkan Najib dan kerajaan ketika itu.

Ia juga berkaitan satu program bual bicara integriti membabitkan Abu Kassim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai pertukaran Dzulkifli menggantikan Abu Kassim sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Sementara itu, Nur Aida berkata hasil siasatan beliau tidak menemui sebarang surat bertulis yang diserahkan Najib kepada Raja Abdullah atau Kerajaan Arab Saudi sebagai tanda penghargaan atau terima kasih atas sebarang pemberian derma seperti didakwa bekas perdana menteri itu, lapor BH pada Selasa.

Menurut Aida, pihaknya hanya menerima empat salinan surat Arab Saudi berkaitan derma kepada Najib yang mendakwa diterimanya daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Pihaknya juga tidak menerima surat asal dalam milikan Najib selepas membuat pemeriksaan di Pejabat Perdana Menteri.

Nur Aida memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat