Kecewa Isu Gangguan Seksual, Ketua Srikandi Bersatu Kota Tinggi Isytihar Keluar Parti

- Advertisement -

KOTA TINGGI – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi, Zaharah Kassim, 53, meletakkan jawatan dan mengisytiharkan keluar parti berkuat-kuasa serta merta.

Beliau yang juga ibu kepada mangsa gangguan seksual Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithanain turut memaklumkan perletakan jawatan itu turut melibatkan 30 lagi ahli Bersatu Bahagian Kota Tinggi.

Zaharah berkata, keputusan keluar daripada parti itu juga turut dipengaruhi dengan kejadian menimpa anaknya selain sudah tidak percaya dengan kepimpinan ketua Bersatu bahagiannya.

“Ada beberapa isu berkenaan perkara ini, tetapi apa yang boleh saya maklumkan adalah kerana kami sudah tidak percaya dengan Ketua Bahagian (Rasman) dan pimpinan Bersatu.

“Di sini saya juga menegaskan tidak ada paksaan fitnah atau konspirasi politik daripada mana-mana pihak,” katanya pada sidang media di kediamannya di Taman Guru di sini, pada Sabtu.

Dalam sidang media berkenaan, Zaharah turut ditemani anaknya iaitu mangsa gangguan seksual itu, Nur Syafiqah Badsulhisham, 27, yang turut mengumumkan perletakan jawatan dan keluar daripada parti berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Rasman dalam satu kenyataan menafikan tuduhan dirinya terlibat melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang juga ahli partinya.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi memaklumkan dakwaan wanita tersebut tidak benar sama sekali dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasi beliau.

Dalam pada itu, Zaharah juga berasa kecewa sebagai ahli dan Ketua Srikandi Bersatu kerana tidak dapat sebarang pembelaan daripada pucuk pimpinan negeri dan pusat berhubung kes membabitkan anaknya.

“Tiada pembelaan daripada parti, dia (Ketua Srikandi Bersatu Pusat, Datuk Seri Rina Harun) ada hantar wakil untuk ambil tahu kes ini, tetapi hanya setakat itu, tiada apa berlaku selepas itu,” katanya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
2,269FollowersFollow
27,593FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat