KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan persepsi yang mendakwa kos sara hidup rakyat meningkat disebabkan kenaikan kos pengangkutan, susulan langkah penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata kos pengangkutan tidak seharusnya mendatangkan kesan kepada kos sara hidup memandangkan ia sudah sedia diserap melalui beberapa inisiatif dilaksanakan kerajaan khususnya BUDI MADANI.
“Saya ingin betulkan sedikit bahawa apabila kita laksanakan penyasaran subidi diesel, kita sudah ambil kira kos pengangkutan, jadi kos pengangkutan itu tak seharusnya naik.
“Sebabnya kita sudah ada BUDI MADANI seperti BUDI individu dan BUDI Agri-Komoditi dan juga fleet card… jadi kos pengangkutan akibat penyasaran subsidi sudah diserap.
“Jadi tak boleh dikatakan peningkatan kos sara hidup itu berpunca akibat kenaikan kos pengangkutan (susulan langkah penyasaran subsidi),” katanya ketika menjawab soalan lisan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Berhubung soalan mengenai indikator baharu bagi mengukur kos sara rakyat, Fuziah berkata satu indikator hala tuju pembangunan indikator kos sara hidup telah dibentangkan pada 14 Oktober lalu dengan mengambil kira metodologi indikator di negara-negara lain.
Beliau berkata, indikator pembangunan kos sara hidup ini mengambil kira bukan sahaja pendapatan, tetapi corak perbelanjaan, lokasi, keperluan-keperluan khusus seperti anak OKU (orang kurang upaya), ibu bapa uzur atau sakit dan sebagainya.
“Itu antara indikator diambil kira, selain pendapatan dan apabila dibangunkan, hasilnya ialah untuk kita kita capai satu perkiraan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) seperti yang dilancarkan Perdana Menteri pada 2 November lalu.
“PAKW tak guna lagi garis asas kemiskinan, tetapi ambil kira juga faktor lain sehingga dapat dibangunkan kiraan asas kehidupan wajar itu,” katanya.
Untuk masa masa depan, Fuziah berkata kerajaan akan memadankan data pendapatan itu dengan keperluan PAKW yang mana kerajaan sedang melakukannya segalanya untuk meningkatkan pendapatan supaya jurang pendapatan dana keperluan tak besar, malah kalau boleh melebihi keperluan asas tadi.
“Di sinilah inisiatif seperti Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), dasar gaji progresif , Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), dasar gaji premium, SARA (Sumbangan Asas Rahmah), STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dilaksanakan kerajaan untuk memastikan pendapatan rakyat meningkat dan dapat tangani perkiraan perbelanjaan asas kehidupan wajar tadi,” katanya.