KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kes bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther yang dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret M. S Arunjothy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham untuk memindahkan dan membicarakan kes berkenaan di mahkamah berkenaan.
Permohonan itu tidak dibantah oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Sementara itu, bagi satu lagi kes dihadapi Yusoff atas tuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di hadapan Majistret S. Mageswary, Izzat Amir memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes seterusnya.
“Kami mahu meneliti sama ada kes memiliki pistol ini wajar dibicarakan bersama-sama satu lagi kes yang dihadapi tertuduh iaitu pengedaran dadah. Kami mohon tarikh singkat, jika dibenarkan sebulan dari hari ini,” kata Izzat Amir.
Rafique berkata pihaknya tidak membantah permohonan pendakwaan dan memohon pembelaan dibekalkan dengan salinan pertuduhan (memiliki pistol) yang dihadapi anak guamnya, sebagaimana dijanjikan dalam prosiding terdahulu.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mageswary menetapkan 13 Dis ini untuk sebutan semula kes, lapor Bernama.
Pada 12 Sept lepas, Yusoff, 31, didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya, di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada 10.15 pagi, 6 Sept lepas.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pada 9 Okt, Muhammed Yusoff didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, tarikh sama (6 Sept).
Dia yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.