Penetapan harga dua peringkat pilihan terbaik laksana penyasaran subsidi petrol – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kaedah penetapan harga dua peringkat sebagai pilihan terbaik kerajaan dalam melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengakui, kaedah itu yang secara prinsip dipersetujui kerajaan untuk dilaksanakan pada pertengahan 2025.

Menurut beliau, bukan sahaja boleh diperbaiki dari semasa ke semasa dari segi operasi, malah paling penting pelaksanaannya kelak tidak menyebabkan kenaikan harga barang mendadak, selain pada masa sama membantu mengekang inflasi.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata tidak ada satu kaedah benar-benar sempurna dalam melaksanakan penyasaran subsidi untuk RON95, memandangkan sebarang kaedah bakal dilaksanakan kelak akan menyebabkan sedikit risiko dan masalah seperti dari segi operasi, penipuan dan kos.

“Namun paling utama kerajaan meletakkan keutamaan kepada usaha mengawal harga barang dan inflasi kerana itu lebih utama.

“Walaupun kita maklum pelaksanaannya kelak akan ada risiko, namun ini boleh diperbaiki dari semasa ke semasa, berbanding (kaedah yang akan menyebabkan) inflasi naik mendadak dan untuk menurunkan harga barang, ini akan lebih membebankan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 yang terdedah masalah kerosakan cip kad pengenalan, capaian internet perlahan luar bandar, penipuan kelayakan, tambahan kos sistem pengesahan dan melambatkan proses pembelian minyak.

Memperincikan mekanisme harga dua peringkat itu, Rafizi berkata pertama ia membabitkan harga subsidi yang kekal di pam pada paras seperti ditetapkan kerajaan untuk 85 peratus rakyat, selain yang kedua harga yang diapungkan untuk kelompok 15 peratus isi rumah tertinggi.

Ini akan melengkapkan usaha kerajaan untuk menyasarkan subsidi dari golongan yang tidak layak mendapat subsidi RON95 seperti orang asing dan 15 peratus pendapatan tertinggi, kepada golongan yang memerlukan iaitu 85 peratus rakyat yang lain.

Beliau berkata, pelaksanaan ini melibatkan dua bahagian utama iaitu pertama membabitkan penentuan 85 peratus isi rumah, yang mana Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) diperkenalkan mengikut daerah di seluruh Malaysia sebagai nilai ambang sesebuah keluarga mengikut jumlah tanggungan untuk perbelanjaan wajar.

“Nilai ambang ini akan mengambil kira perbelanjaan lebih besar… selain kos biasa seperti makanan, perumahan, tenaga dan sebagainya, kos-kos lain untuk sesebuah keluarga menikmati hidup bermaruah dan turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan turut diambil kira.

“Bahagian kedua pula melibatkan penyasaran subsidi di stesen minyak, menggunakan beberapa kaedah yang sedang dipertimbangkan contohnya seperti (penggunaan) kad pengenalan (MyKad) dan e-wallet,” katanya.

Mengulas konteks penyasaraan subsidi di stesen minyak, secara umum bahagian satu (harga subsidi kekal) dibangunkan Kementerian Ekonomi, manakala bahagian kedua berhubung pelaksanaan mekanisme pembelian RON95 akan dibangunkan Kementerian Kewangan (MOF).

“Kementerian Ekonomi dan MOF sedang perhalusi mekanisme menggunakan prinsip-prinsip yang dihuraikan itu. Kriteria dan mekanisme akhir akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selaras garis masa pelaksanaan iaitu menjelang pertengahan 2025,” katanya.

Berhubung mekanisme penggunaan MyKad untuk tujuan pengesahan ketika pembelian di stesen minyak dengan cabaran-cabaran seperti disebut Suhaizan, Rafizi memaklumkan perkara itu sedang diambil kira dan diperhalusi antara MOF dan penggiat industri dan mereka yang akan melaksanakannya.

Beliau berkata, kaedah penggunaan kad pengenalan di stesen minyak juga sudah diuji pada 2022 hingga 2023 melalui prihek rintis di stesen minyak terpilih.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat