KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menggesa Kementerian Pertahanan (Mindef) mengambil serius kes buli yang sudah beberapa kali berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Sultan Ibrahim dalam pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada pagi Selasa menegaskan, budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini.
Baginda memandang serius kes buli yang berlaku di ALK UPNM sehingga mengakibatkan seorang penuntut mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
Sultan Ibrahim, bertitah kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa.
Baginda bertitah di dalam pasukan tentera latihan keras adalah perkara biasa bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat, seperti pernah dilalui oleh Baginda sewaktu menjalani latihan ketenteraan.
“Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa.
“Ini tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” titah Sultan Ibrahim.