Pemain industri disaran kolaborasi dengan CIDB dalam bidang TVET – Menteri Kerja Raya

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LANGAT – Usaha giat membangunkan belia dalam sektor pembinaan, di samping memperkukuh peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh CIDB dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) sebagai pendekatan baharu dalam ekosistem pendidikan negara.

Semenjak 2012 hingga 2024, ABM telah melatih 1,104 pelatih dalam operasi kren menara, dengan 313 terdiri daripada belia dan 791 sebagai personel binaan, menunjukkan komitmen CIDB dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam sektor ini.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Tapak Latihan Kren Menara ABM, Wilayah Tengah di Jenjarom, dekat sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya (KKR), Dato‘ Seri Azman Ibrahim; Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Sr Mohd Zaid Zakaria; Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Imran Salim, dan Naib Presiden Eksekutif Kumpulan MRCB, Datuk Dell Akbar Khan.

Nanta, menekankan aspirasi kerajaan Madani dalam memperkukuhkan TVET sebagai asas kepada kemajuan sektor pembinaan.

“Seperti yang disampaikan oleh Perdana Menteri melalui ucapannya, dua perkara penting di International Construction Week 2024 baru-baru ini,

“Pertama, pertumbuhan negara kukuh, dengan KDNK sektor pembinaan meningkat sebanyak 17.3% pada tiga suku pertama tahun ini, memerlukan peningkatan kemahiran dan kompetensi tenaga kerja.

“Kedua, industri pembinaan kini menuntut tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran teknologi dan kerajaan komited menyediakan laluan yang lebih luas bagi pendidikan TVET untuk memastikan tenaga kerja tempatan kompeten dan memenuhi keperluan global, ”katanya.

“Dalam usaha ini, CIDB telah membelanjakan lebih daripada RM800 juta untuk menyediakan latihan dan penilaian kepada belia, personel binaan dan para kontraktor menerusi 6 buah ABM dan CIDB Technologies Sdn Bhd (CIDB Tech) di seluruh negara.

“CIDB juga telah membelanjakan lebih RM80 juta setakat tahun 2023 untuk pembangunan fasiliti.

“Sejak tahun 2016, CIDB telah melabur dalam teknologi pembelajaran melalui penggunaan simulator canggih seperti Mobile Crane, Excavator, dan Welding.

“Hasilnya, 60% daripada latihan di ABM melibatkan elemen simulasi yang memberikan pengalaman praktikal, membolehkan pelatih merasai sendiri operasi jentera sebenar,”katanya lagi.

“Pendekatan ini memastikan bahawa pelatih bukan sahaja memahami teori, tetapi juga mahir dalam aplikasi dunia nyata.

“CIDB sebagai peneraju TVET pembinaan amat menitikberatkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berkualiti untuk industri pembinaan.

“Mewakili CIDB, saya ingin menjemput lebih ramai lagi pemain industri untuk berkolaborasi dengan kami sebagai rakan strategik dalam bidang-bidang TVET yang lain demi kemajuan industri pembinaan,”ujarnya.

“Setakat ini, dalam tempoh 3 tahun kebelakangan, CIDB telah bekerjasama dengan 18 penggiat industri, termasuk syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) serta syarikat tempatan dan antarabangsa, dalam mempertingkatkan latihan kemahiran TVET.

“Melalui kerjasama ini, CIDB berusaha memastikan latihan yang ditawarkan adalah terkini, relevan dan sesuai dengan perkembangan serta keperluan industri semasa.

“Kerajaan mensasarkan untuk masa hadapan, semua projek pembinaan di Malaysia ini 100% dilaksanakan oleh pekerja tempatan, selaras dengan salah satu sasaran Dasar Pembinaan Negara, iaitu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, ”ujarnya lagi.

“Kerjasama antara kerajaan , institusi TVET, dan industri mesti terus diperkukuhkan untuk memastikan program TVET sentiasa relevan. Penglibatan industri dalam program ini penting, terutama dalam pembangunan kurikulum dan peningkatan kemahiran tenaga pengajar.

“Dengan penglibatan pemain industri besar seperti MRCB, kita dapat memastikan latihan TVET sentiasa menepati standard industri.

“Memorandum persefahaman di antara MRCB dan CIDB telah ditandatangani lebih setahun lalu setelah Bajet 2023 mengenal pasti MRCB sebagai organisasi untuk memperkasakan kerjasama awam-swasta dalam memastikan program-program TVET dapat memenuhi tuntutan industri.

“MRCB telah menunjukkan komitmen luar biasa dengan menyediakan tapak latihan, kemudahan peralatan dan sokongan kurikulum.

“Selain itu, fasiliti khusus untuk latihan kren menara yang disediakan oleh MRCB, dengan kos sebanyak RM1 juta membolehkan latihan praktikal yang memberi fokus kepada pengendalian dan pengurusan kren secara profesional.

“Sememangnya fasiliti ini bertujuan menghasilkan kumpulan Orang Yang Kompeten (Competent Person) Operator Kren Menara,”tambahnya.

“MRCB sebagai rakan strategik yang aktif telah menawarkan penempatan kerja kepada graduan TVET, ianya memberikan pelatih merasai pengalaman sebenar dalam mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran di tapak pembinaan.

“Semua pihak dalam sektor pembinaan diseru untuk tampil dalam kerjasama sinergistik bersama CIDB dalam usaha memperkasa TVET pembinaan dan meningkatkan kemahiran, profesionalisme serta menekankan kepentingan persijilan kompetensi.

“Dengan adanya fasiliti yang canggih seperti ini, kita akan dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkualiti dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,”tambahnya lagi.-SUARA.TV

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat