KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah bersedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan tular rakaman audio Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya maklum isu berkenaan audio terbabit didakwa berkaitan dengan beberapa Adun dari negeri tersebut.
Susulan itu, Hajiji berkata kerajaan negeri meminta pihak berkaitan untuk menyiasat berkenaan perkara terbabit.
“Ini kita minta pihak berkuasa menyiasat. Kita akan bagi kerjasama tapi siasat juga (pihak berkaitan) yang memberi rasuah itu.
“Pemberi rasuah mempunyai niat tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.
“Apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman audio) jadi bagi saya, untuk lebih adil, tangkap dia dan siasat dia dulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Pecah Tanah Projek Loji Janakuasa 100MW Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd dan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Kimanis Power Sdn Bhd di Stesen Janakuasa Kimanis di Kimanis, di Papar pada Selasa, lapor Harian Metro.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Pengerusi Invest Sabah Berhad, Senator Datuk Seri Anifah Aman dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, pihaknya tidak berniat untuk berselindung mengenai isu itu dan memaklumkan namanya didakwa antara yang dipetik dalam rakaman audio itu.
“Saya tiada apa-apa. Kerajaan memang (dalam keadaan) baik dan masih berjalan dengan baik. Itu (tuduhan rakaman audio yang tular) itu cuma tuduhan.
“Laporlah kepada SPRM. Kita tiada apa-apa untuk disembunyikan,” katanya.
Baru-baru ini, sebuah portal dalam talian melaporkan terdapat sekurang-kurang lapan rakaman audio mengaitkan beberapa Adun didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.
Setakat ini, SPRM dilaporkan tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk pemberi maklumat yang mendakwa mempunyai rakaman audio Adun terbabit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dipetik berkata peguam kepada pemberi maklumat terbabit ada bertemu pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu.