Kerajaan Telah Ambil Tindakan Sewajarnya Isu LCS, Tidak Pernah Diabaikan – PM

- Advertisement -

BERA – Kerajaan telah mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu perolehan aset ketenteraan seperti kapal tempur pesisir (LCS) dan tidak pernah mengabaikan perkara itu begitu sahaja.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata agensi bertanggungjawab telah menjalankan siasatan, malah pihak terlibat dalam penyelewengan didakwa di mahkamah.

“Isu LSC tindakan dah pun diambil, Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) juga telah buat kenyataan dan perjelas beberapa kali.

“Mereka yang dituduh terlibat dengan penyelewangan dan sebagainya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah menyiasat dan ada yang dibawa ke mahkamah, jadi perkara itu adalah sedang berjalan, tidak betullah jika kata kita tidak mengendahkannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika menjawab kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilapor memintanya memohon maaf kepada tentera berhubung isu perolehan aset yang timbul dalam pasukan keselamatan itu.

Ismail Sabri berkata Anwar sengaja atau dilihat tidak mahu mengambil tahu apa yang berlaku kerana penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan sudah dijelaskan sebelum ini.

Sementara itu, ditanya mengenai gesaan pembangkang yang mahu semua calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan harta, beliau berkata tindakan itu dlakukan secara sukarela oleh sesiapa yang mahu berbuat demikian.

Perdana Menteri berkata tiada keperluan untuk melakukan perkara itu kerana ia tidak diperuntukkan dalam mana-mana akta, melainkan individu dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri yang diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka.

Beliau berkata Ahli Parlimen tidak perlu mengisytiharkan harta sebab mereka boleh berniaga tetapi menteri dan timbalan menteri mereka wajib mengisytiharkan harta dan memang mereka berbuat demikian.

“Tetapi, sesiapa yang sukarela hendak mengisytiharkan harta seperti Rafizi (Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli) isytiharlah. Bagi saya perkara yang perlu dan dikehendaki oleh akta mesti dipatuhi.

Tetapi yang tidak ada dalam mana-mana akta (maka) tidak ada keperluan. Setakat nak jadikan ia isu pilihan raya sahajalah kalau tidak diisytiharkan dianggap sebagai ada sesuatu yang nak disorok,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,478FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat