MP Bintulu boleh jumpa Menteri, tak wajar serang KP Kesihatan di Parlimen – CUEPACS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – CUEPACS mendesak Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, CUEPACS memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Bintulu apabila beliau mengatakan ‘Ketua Pengarah Kesihatan takut mati’ ketika sesi perbahasan di Parlimen semalam.

Tegasnya, CUEPACS menganggap kenyataan tersebut sangat keterlaluan dan seolah-olah merendahkan pengorbanan penjawat awam yang selama ini bertungkus-lumus dalam usaha menyekat penularan virus Covid-19.

Katanya, apatah lagi perbuatan merendah-rendahkan penjawat awam itu dilakukan di dalam Dewan Rakyat yang mulia.

“Kenyataan Ahli Parlimen Bintulu itu adalah tidak wajar kerana tidak menyelidiki terlebih dahulu maklumat sebenar sebelum mengeluarkan komen yang agak keras kepada penjawat awam.

“ Sebagai wakil rakyat, Yang Berhormat Bintulu sewajarnya menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pendapat peribadi ataupun aduan yang diterima beliau dan bukannya membuat serangan secara terbuka di dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, CUEPACS percaya Ahli Parlimen Bintulu mempunyai akses untuk bertemu dengan Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Perkhidmatan jika mahu memaklumkan pendapat beliau mengenai penambahbaikan dalam pengurusan Covid-19.

“Walaupun niat beliau adalah untuk menyuarakan masalah petugas barisan hadapan dan rakyat yang mungkin terlepas pandang oleh pihak kerajaan, CUEPACS berharap ia dibuat mengikut saluran yang betul kerana tidak adil untuk Ketua Pengarah Kesihatan diserang melalui platform yang beliau tidak boleh memberi penjelasan.

“Justeru itu Yang Berhormat Bintulu wajar membuat permohonan maaf sebagai menghormati peranan semua petugas barisan hadapan dan Ketua Pengarah Kesihatan dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sepanjang usaha menyekat penularan Covid-19.

“CUEPACS berharap kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi terutama melibatkan pemimpin politik kerana ia dibimbangi menjadi ikutan masyarakat. Perkara ini harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan kebebasan bersuara untuk membuat kritikan yang tidak wajar,” ujarnya.

Tegas Adnan, Ketua Pengarah Kesihatan merupakan jawatan profesional perubatan dan bertindak atas data-data profesional tanpa memasukkan unsur-unsur politik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat