Bukan ketandusan ilham

- Advertisement -

TEMPOH setahun jagung membina nama dalam industri hiburan, nyata tidak membataskan bakat muda berpotensi dunia seni suara dikenali Yonnyboii untuk berkarya.

Malah, dengan kreativiti dimilikinya dalam penghasilan lagu menjadi nilai tambah proaktif buat Yonnyboii untuk terus bertahan serta bersaing secara kompetatif di persada seni tanah air.

Menariknya lagi mengenai pemuda ini, apabila dia mampu membuktikan bakatnya dengan pantas selepas tiga lagu dendangan dan ciptaannya iaitu Sakit (duet bersama Zyn Akal), Kelabu (duet bersama Azlan Typewriter) dan X Missing You (kolaborasi bersama Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique) tersenarai di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik ke-35.

Bagaimanapun, Yonnyboii tidak mendabik dada. Bagi pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin ini, dia aktif melancarkan lagu demi lagu ciptaannya pada tahun ini. Bahkan, kali terakhir dia muncul dengan lagu Boleh Bla yang dilancar pada September lalu.

Kini Yonnyboii muncul semula mempertaruhkan lagu terbaharu daripadanya berjudul Salahku 3.0 yang sudah disuntik susunan muzik dengan elemen lebih segar dan bertenaga.

Mengulas lanjut mengenai lagu itu, Yonnyboii berkata, ia adalah karya lagu terdahulunya dengan judul sama iaitu Salahku yang pernah menjadi lagu tema drama Budak Tebing di TV3.

“Lagu ini (Salahku), saya dapati mempunyai potensi besar untuk diketengahkan lagi dengan versi baharu yang lebih bertenaga buat hiburan pendengar. Bagi saya dengan versi lebih rancak, ia lagi mantap.

 

YONNYBOII, penyanyi dan komposer muda berkaliber.
YONNYBOII, penyanyi dan komposer muda berkaliber.

 

“Justeru untuk versi lagu Salahku 3.0 ini, diakui susunan muziknya amat segar yang saya buat sendiri sepenuhnya. Menerusi versi baharu ini, memang lebih impaknya daripada yang asal.

“Kalau lagu asalnya (Salahku) sebelum ini susunan muzik menjurus pada akustik, sesuai dengan emosi dan menggambarkan perasaan yang sedih.

“Tetapi, bagi lagu Salahku 3.0 pula sangat segar untuk didengarkan. Malah, bila orang dengar pasti akan memberi mereka suntikan semangat yang lebih menghiburkan,” katanya.

Ditanya apakah dia tidak bimbang sekiranya dianggap sudah tiada idea baharu dalam penciptaan lagu, Yonnyboii menafikannya.

Katanya, ia tidak ada kena-mengena dengan persoalan dia sudah ketandusan ilham.

“Saya bukan tak ada idea, tapi sebenarnya idea saya yang berlebih-lebih. Jadi, macam terciptanya lagu Salahku 3.0 ini yang membuatkan saya gembira dapat menghasilkannya jadi lebih baik.

“Ia disebabkan memang saya rasa boleh buat lebih untuk lagu ini (Salahku 3.0) kerana saya lihat karya berkenaan ada potensinya tersendiri,” katanya.

Menurut Yonnyboii lagi, versi terbaharu Salahku 3.0 ini juga berdurasi tiga minit 15 saat.

Katanya, dalam versi terkini, lirik turut dirombak sedikit bagi menyuntik semangat dan jiwa berbeza.

Lagu ini yang diterbitkan Universal Music Malaysia dengan kerjasama Def Jam Malaysia sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer sejak 6 November lalu. Begitu juga, video liriknya juga sudah dilancarkan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat