Belanjawan MADANI 2026, Belanjawan Kebangkitan Nasional – Wadah

KUALA LUMPUR, — Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyambut baik serta menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan Belanjawan MADANI 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat semalam.

Presidennya, Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, menyifatkan Belanjawan MADANI Keempat itu sebagai “belanjawan kebangkitan nasional” yang berpaksikan prinsip maslahah rakyat, keadilan sosial dan amanah tadbir urus.

Menurut beliau, belanjawan kali ini bukan sekadar dokumen fiskal tahunan, sebaliknya manifestasi keazaman kerajaan untuk membina semula Malaysia melalui reformasi fiskal yang mampan dan berpandangan jauh.

Langkah seperti penyasaran subsidi, pengukuhan perkhidmatan awam dan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dilihat sebagai tindakan berani untuk memulihkan keutuhan ekonomi tanpa mengabaikan keperluan rakyat.

WADAH turut memuji komitmen kerajaan memperkukuh tatakelola dan integriti melalui digitalisasi sistem seperti e-Invois, MyDigital ID dan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan.

Langkah ini, kata Ahmad Azam, akan mempercepat penyampaian, menutup ruang ketirisan dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap kejujuran pentadbiran.

Beliau turut menyambut baik peruntukan tambahan kepada agensi penguatkuasaan seperti SPRM, PDRM dan JKDM yang disifatkan sebagai bukti kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh urus tadbir bersih serta bebas rasuah.

Keutamaan kepada rakyat dan golongan rentan

Mengulas lanjut, WADAH menegaskan bahawa belanjawan ini menzahirkan keutamaan sebenar terhadap rakyat melalui program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion kepada lebih sembilan juta penerima.

Pendekatan penyasaran subsidi yang lebih tepat, katanya, menggambarkan prinsip keadilan Islam dan ihsan sosial dalam membantu golongan rentan secara berkesan dan bermaruah.

WADAH juga menyambut baik peruntukan besar RM66.2 bilion untuk pendidikan dan RM2.6 bilion bagi memperkukuh syiar Islam, termasuk menaik taraf institusi tahfiz, pondok, madrasah serta sekolah agama rakyat.

“Ini membuktikan kerajaan mengiktiraf pembangunan insan berasaskan ilmu dan akhlak sebagai asas kemajuan negara,” kata Ahmad Azam.

Belanjawan 2026 turut memberi pengiktirafan kepada pertubuhan masyarakat madani dan NGO Islam sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan dasar sosial, khususnya melalui Program Ikhtiar MADANI untuk Rakyat.

Kerjasama ini, katanya, penting untuk memastikan dasar dan bantuan kerajaan benar-benar sampai ke akar umbi dan memberi impak sosial yang nyata.

Perpaduan dan budaya damai

Dalam aspek sosial, WADAH turut menyokong seruan Perdana Menteri agar nilai perpaduan, hormat dan budaya damai terus disemai dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Konsep Fiqh Ta’ayush hidup damai dalam kepelbagaian disarankan diterapkan dalam dasar pendidikan, media dan pembangunan komuniti bagi memastikan Malaysia kekal aman dan bersatu dalam kepelbagaian.

Mengakhiri kenyataannya, Ahmad Azam menyeru seluruh rakyat dan semua pihak merentas parti politik, sektor awam, swasta dan NGO agar bersatu dalam menjayakan agenda MADANI.

“Inilah waktu untuk kita bangkit sebagai satu bangsa Malaysia yang berjiwa ihsan, berilmu dan berintegriti, demi Malaysia yang lebih makmur, beradab dan sejahtera untuk generasi akan datang,” katanya.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat