CYBERJAYA – Presiden Yayasan Policy and Economic Affairs Centre of Malaysia (PEACE), Mohd Jamizal Zainol menyifatkan kepimpinan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempunyai kekuatan tersendiri khususnya dari aspek pengalaman politik dan keupayaan komunikasi.
Melalui podcast ‘Jam Kesebelas’ terbitan Suara TV beliau berkata, kredibiliti menteri berkenaan terserlah apabila mampu menyampaikan hujah dengan meyakinkan serta mengurus kementerian yang begitu besar biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran besar.
Menurut beliau, KDN merupakan antara kementerian yang paling kompleks kerana menguruskan lebih 50 undang-undang dan 10 agensi di bawah seliaannya.
Hal ini, katanya, memerlukan kebolehan kepimpinan yang mampu mengimbangi tuntutan birokrasi, faktor politik dan juga persepsi rakyat.
“Saya perlu berlaku adil kerana seperti yang kita bincangkan tadi, Kementerian Dalam Negeri ini boleh dianggap sebagai sebuah kementerian yang bersifat ‘super’ dalam struktur pentadbiran negara.
“Peruntukan besar diberikan kepada kementerian ini menunjukkan tanggungjawab yang dipikul adalah amat luas dan berat.
“Selain itu, kementerian ini juga perlu melihat kepada lebih 50 undang-undang serta 10 agensi yang berada di bawah kawalannya.
“Oleh itu, penting difahami bahawa Datuk Seri Saifuddin bukanlah tokoh baharu dalam politik, sebaliknya mempunyai pengalaman dalam pentadbiran dan pernah memegang jawatan penting dalam parti sebelum ini,” jelasnya.
Mohd Jamizal berkata, antara pencapaian yang diketengahkan ialah pindaan undang-undang berkaitan kerakyatan yang membolehkan anak-anak dilahirkan oleh wanita warganegara Malaysia di luar negara memperoleh kewarganegaraan secara automatik.
Perubahan ini jelasnya disifatkan sebagai langkah penting kerana ia menyelesaikan ketidakselarasan hak antara lelaki dan wanita dalam peruntukan Perlembagaan.
“Dari sudut reformasi, saya berpendapat bahawa langkah yang dilaksanakan pada tahun 2023 merupakan pencapaian besar kerana membolehkan anak-anak yang dilahirkan oleh wanita warganegara Malaysia di luar negara secara automatik mendapat kerakyatan.
“Sebelum ini, peruntukan Perlembagaan hanya memberikan keistimewaan tersebut kepada lelaki warganegara yang berkahwin dengan wanita asing.
“Sebaliknya, wanita warganegara yang berkahwin dengan lelaki asing tidak mendapat hak yang sama. Maka, pindaan ini amat signifikan kerana Artikel 8 Perlembagaan jelas menekankan prinsip kesamarataan antara lelaki dan wanita,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata penubuhan Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) turut diberi perhatian sebagai langkah reformasi lain yang mempunyai nilai strategik.
Jelasnya agensi tersebut menghimpunkan pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) untuk memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara.
“Saya juga melihat penubuhan Agensi Keselamatan Sempadan sebagai satu tindakan reformasi yang penting. Hal ini kerana dalam tempoh kebelakangan ini, pelbagai isu timbul melibatkan kelemahan kawalan imigresen termasuk masalah berkaitan dokumen perjalanan.
“Melalui penubuhan agensi ini, pegawai-pegawai terbaik daripada pelbagai jabatan dan pasukan keselamatan dapat dihimpunkan dalam satu badan khusus. Ini sekali gus dapat menumpukan usaha menjaga keselamatan sempadan negara secara lebih efektif,” katanyaz
Mohd Jamizal turut menilai kebolehan Saifuddin dari segi komunikasi sebagai suatu kekuatan.
Menurutnya, kemampuan menteri berkenaan berpidato dengan yakin serta menyusun hujah dengan kemas amat berguna dalam mengurus persepsi awam, termasuk ketika menjawab persoalan di Parlimen.
“Tidak dapat dinafikan bahawa Datuk Seri Saifuddin mempunyai kebolehan komunikasi yang baik. Beliau mampu menyampaikan ucapan dengan berkarisma serta menyusun idea dengan teratur.
“Kebolehan ini jelas terbukti apabila beliau memberikan penjelasan berhubung kes Zara di Parlimen, di mana hujah yang dikemukakan beliau dapat disampaikan dengan penuh keyakinan walaupun berdepan pelbagai soalan daripada pihak pembangkang,” jelasnya.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa aspek kebajikan anggota keselamatan perlu diberi perhatian serius.
Katanya, kelewatan pembayaran tuntutan elaun operasi kepada pegawai polis merupakan antara isu yang wajar ditangani segera.
“Saya berpeluang mendengar pengalaman daripada seorang rakan yang mempunyai ahli keluarga berkhidmat sebagai pegawai polis di unit semboyan.
“Menurutnya, terdapat pegawai yang terpaksa menanggung beban kewangan apabila tuntutan elaun operasi lambat diselesaikan.
“Dalam beberapa kes, kelewatan tuntutan mencecah sehingga enam bulan. Keadaan ini menjejaskan kebajikan pegawai yang terlibat. Saya berpendapat satu penanda aras baharu perlu diwujudkan, misalnya penyelesaian dalam tempoh dua minggu, supaya mereka lebih bersemangat dalam menjalankan tugas,” katanya.
Untuk rekod, Datuk Seri Saifuddin Nasution mula menerajui KDN pada Disember 2022 dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cabaran utama KDN ketika ini termasuklah isu pemerdagangan manusia, kelemahan sistem imigresen, lambakan pekerja asing, ancaman jenayah siber dan persepsi masyarakat terhadap integriti penguatkuasaan.



