KUALA LUMPUR – Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mengajak rakyat Malaysia melakukan demonstrasi menyambut kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 Oktober depan.
Menurut Dr Maza di pihak kerajaan boleh menyambut kedatangan Trump mengikut protokol rasmi negara namun, rakyat Malaysia wajar melakukan demonstrasi menzahirkan bantahan terhadap kejahatan-kejahatan yang dilakukan Trump di seluruh dunia.
“Trump akan datang ke Malaysia, Trump ini dalam negara dia, pergi mana-mana pun orang buat demonstrasi, orang marah kat dia orang kata dia Hitler pada zaman ni, mungkin Hitler lebih baik daripada dia.
“Orang jerit, pemimpin-pemimpin Barat yang terlibat dengan jenayah dia datang mana-mana orang jerit. Demonstrasi menzahirkan kemarahan.
“Trump kalau datang ke Malaysia tak apalah sebagai kerajaan, kerajaan sambut dalam aturan kerajaan.
“Tetapi sebagai rakyat patut melakukan demonstrasi menzahirkan bantahan terhadap kejahatan-kejahatan Trump yang beliau lakukan seluruh dunia ini,” seru Mufti Perlis itu dalam video yang dimuat naik Facebook PROmediaTAJDID, semalam.
Pada 9 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang akan melawat Malaysia bulan depan sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47.
Anwar berkata, Presiden Russia Vladimir Putin bagaimanapun sedang mempertimbang secara serius untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.
“Kita bertuah. Walaupun ada isu tarif, Presiden Donald Trump telah menghubungi saya dan memaklumkan bahawa beliau akan datang ke Malaysia bulan depan bersempena mesyuarat Asean. Perdana Menteri Li Qiang juga akan turut hadir.
“Presiden Putin bertemu saya di Beijing dan berkata beliau sedang mempertimbangkan secara serius untuk datang ke Malaysia.
“Saya kata, baiklah… kita ada Donald Trump, Vladimir Putin dan Li Qiang, jadi mereka akan perasan bahawa Kuala Lumpur berada dalam kawalan penuh,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam ulang tahun ke-50 Kumpulan Ambank.



