KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias menafikan dakwaan adanya penduduk menerima pampasan lumayan mencecah sehingga RM3.8 juta seperti digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.
Beliau menggesa pihak berwajib memberi penjelasan telus mengenai nilai sebenar tawaran kepada penduduk.
“Orang kata kami dapat RM3.8 juta, RM2.25 juta, tapi mana hitam putih? Saya sendiri tidak pernah menerima angka itu. Rumah saya dua tingkat, hampir 400 ribu kaki persegi tapi dalam dokumen rasmi pampasan yang dinyatakan hanyalah sekitar RM448 satu kaki persegi.
“Sedangkan ada pihak menyebut sehingga RM850 kaki persegi. Mana keadilan ini?” soalnya dalam sidang media lapor MalaysiaGazette pada Jumaat.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus yang mendakwa pampasan yang diberikan pihak pemaju adalah sangat munasabah dan tinggi malah ada yang mencecah sehingga RM3.8 juta bagi satu unit rumah teres.
Namun kata Zainab, hakikatnya tanah Kampung Sungai Baru mempunyai nilai tinggi kerana kedudukannya bersebelahan pusat bandar.
“Harga tanah di kawasan sekitar KLCC boleh mencecah RM2,500 satu kaki persegi. Tapi untuk kampung kami, mereka letakkan jauh lebih rendah. Ini sangat tidak masuk akal, langsung tidak ada keadilan,” ujarnya.
Zainab berkata isu pampasan ini tidak pernah mendapat persetujuan penuh daripada penduduk.
“Bukan semua setuju, tapi rumah flat lapan blok pun sudah dirobohkan. Sekarang mereka kata mahu ganti dengan unit flat baru. Apa jaminannya? Mana perjanjian yang jelas?,” soalnya lagi.
Zainab turut menyuarakan kekecewaan kerana kampung warisan yang diwarisi sejak turun-temurun sedang dikorbankan demi pembangunan.
“Saya tidak mahu berpindah ke Putrajaya atau tempat lain. Kampung saya di sini. Tanah tumpah darah saya di sini, tali pusat saya ditanam di sini. Kubur nenek moyang kami ada di sini. Apa perlunya kami dipaksa berpindah?” tegasnya.



