KUALA LUMPUR – Kekecohan berlaku semasa operasi pengosongan kediaman di Kampung Sungai Baru, di sini semalam sehingga menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera bukan angkara penduduk setempat.
Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Muzzafar Razman, berkata ketika kejadian penduduk yang terkesan berada dalam kediaman masing-masing.
“Apa yang saya nak jelaskan kejadian semalam (kecoh sehingga Silizmie cedera) tidak ada kaitan langsung dengan penduduk.
“Kami hanya berada di rumah masing-masing dan tidak ada sebarang provokasi atau propaganda daripada pihak penduduk,” katanya pada sidang Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, lapor BH pada Jumaat.
Kata Muzzafar, penduduk melahirkan rasa kecewa dengan insiden yang menyebabkan kecederaan kepada pihak polis dan orang awam kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, isu pokok dipertikaikan adalah tindakan drastik operasi terbabit sedangkan masih terdapat beberapa kes berkaitan tanah tersebut yang sedang menunggu perbicaraan di mahkamah.
“Perintah dikeluarkan mahkamah hanya membenarkan pintu atau tingkap dipecah masuk untuk dikunci semula, bukannya merobohkan rumah. Tetapi pihak berkuasa mentafsirkannya sehingga berlaku perobohan.
“Kami benar-benar tergamam dengan tindakan tersebut. Ia detik hitam kerana jelas perintah tidak menyebut perobohan, namun ia tetap dilakukan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata tiga lelaki ditahan untuk siasatan kes kecederaan menimpa Sulizmie Affendy.
Sulizmie kemudian menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).



