Yusoff Rawther didakwa edar kanabis berdepan penjara seumur hidup, 12 sebatan jika salah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Yusoff, 31, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S.Arunjothi.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Yusoff didapati mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pukul 10.15 pagi pada 6 September lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Yusoff.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 November ini bagi sebutan kes dan laporan kimia, lapor Kosmo! pada Khamis.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataannya berkata, lelaki tersebut yang ditahan di Jalan Bukit Kiara, telah direman selama enam hari sejak Sabtu lalu.

Katanya, pemeriksaan pihak polis menjumpai dua pucuk pistol tiruan dan satu ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja di dalam kenderaan suspek.

Tambah beliau, orang ramai diminta menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Semalam peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali mengesahkan berhubung penahanan anak guamnya, pada Jumaat lalu.

Peguam itu mengatakan Yusoff yang kini ditahan reman sejak Jumaat lalu menyatakan dengan jelas bahawa pistol dan dadah tersebut bukan miliknya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan penuh berhubung saman Yusoff terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual terhadapnya akan bermula pada 16 Jun tahun depan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh Setiausaha Sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

Sementara itu Anwar memfailkan tuntutan balas pada September 2021 dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’.

Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku kerana pada tarikh berkenaan, beliau melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat