KUALA LUMPUR – Pimpinan Umno mengecam cadangan Setiausaha Pemuda Pas Selangor, Aubidullah Fahim Ibrahim supaya berkahwin dengan wanita bukan Melayu sebagai langkah untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyelar niat perkahwinan yang disyor Aubidullah itu sebagai jelas tersasar dengan matlamat asal perkahwinan dalam Islam.
“Perkahwinan dalam Islam adalah kesatuan suci di hadapan Allah.
“…dan tidak boleh digunakan sebagai alat untuk keuntungan politik dan nafsu untuk berkuasa,” tegur Asyraf di X pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai komen balas daripada kenyataan pemimpin sayap Pemuda Pas itu yang mengemukakan saran berkahwin dengan wanita bukan Melayu sebagai langkah untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.
Aubidullah di Muktamar Pas berkata, taktik sedemikian boleh memenangkan parti itu bukan saja berpuluh, malah ratusan undi.
“Kami (Pemuda Pas) di Selangor ada cadangan. Tapi Ketua Pemuda Pas (Afnan Hamimi Taib Azamudden) tak ada pula.
“Kita nak cadangkan supaya kepimpinan Pemuda ini perlu berkahwin rentas kaum ataupun rentas budaya. Kerana apa? Kerana apabila kita berkahwin merentas kaum ataupun budaya ini, kita bukan sekadar boleh menangkap satu undi, tapi Insya-Allah kita akan menangkap 10 bahkan ratusan undi daripada bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya di Muktamar PAS ke-65, pada Khamis.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi mencadangkan Pas supaya ‘kahwin politik’ dengan DAP kerana menurut beliau ia lebih praktikal.
“Pemuda Pas Selangor mencadangka ahli-ahli sayapnya berkahwin merentasi kaum dan budaya. Tujuannya supaya Pas dapat menambah undi bukan Melayu kepada parti itu.
“Kalau kahwin tujuannya undi semata-mata lebih baik Pas kahwin politik dengan DAP. Itu lagi praktikal.
“Dapat undi bakul untuk menang sesebuah kerusi. Ceraikanlah Gerakan tu. Anak pun tak ada,” bidas Puad.