KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh tegas tidak gentar dengan tuntutan ganti rugi RM25 juta daripada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terkait dakwaan memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Adun Merlimau itu malah membidas bahawa beliau sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
“Semalam Teresa Kok nyatakan bahawa peguamnya akan hantar surat tuntutan (LOD) kepada saya untuk saman RM25 juta dan hari ini saya baca laporan menyatakan Pemuda DAP Seputeh buat laporan polis terhadap saya atas tuduhan fitnah kepada Teresa Kok.
“Pelik juga, kamu yang mulakan, hari ini kamu pulak yang nak play victim, tapi nak bagitahu saya langsung tidak takut.
“Bawalah apa sekali pun, kita jumpa kat mahkamah,tak ada hal, ini anak jantan. Kamu dah jual, pantang anak jantan untuk tak membelinya.
“Jadi, nak beritahu pada korang demi agama, bangsa dan tanah air ini bukan setakat 25 juta, nyawa pun aku sendiri pun aku sanggup pertaruhkan
lawan tetap lawan, no fear no surrender,” tegas Akmal dalam video yang dimuat naik di Facebooknya pada Khamis.
Terdahulu, Teresa Kok menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Akmal selepas mendakwa Ketua Pemuda Umno itu memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Surat tuntutan (LOD) kepada Muhamad Akmal dihantar Teresa menerusi firma Sankara Nair and Partners.
Selain tuntutan ganti rugi RM25 juta, Teresa turut menuntut segala kos dan perbelanjaan yang disebabkan isu ini.
Justeru, Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau diberi tempoh tujuh hari bekerja untuk memberikan maklum balas.
Notis LOD juga merujuk penjelasan lanjut Teresa pada 8 September lalu mengenai pendirian beliau dalam dasar pembikinan sijil halal untuk restoran yang tidak menyediakan daging khinzir dan/atau alkohol.
Katanya lagi, akibat kenyataan TikTok dibuat Akmal, beberapa laporan polis dibuat terhadap Teresa yang mengakibatkan beliau disiasat polis di bawah Seksyen 298 dan 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 233 Komunikasi dan Akta Multimedia 1998 (Akta 588).
Notis itu juga berkata, kenyataan dibuat Muhamad Akmal juga memberi gambaran bahawa Teresa adalah seorang bersifat perkauman, tidak menghormati Islam, tidak mempunyai sebarang pengetahuan khususnya tentang Pensijilan Halal, tidak peka dan jahil, menentang dasar kerajaan mengenai amalan dan agama Islam, merosakkan keamanan dan keharmonian negara serta musuh negara dan tidak setia kepada negara.
Akibat kegagalan, kecuaian dan niat jahat Akmal untuk tidak menarik balik kenyataan berunsur fitnah walaupun selepas Teresa mengeluarkan dan/atau menerbitkan penjelasan, menyebabkan Ahli Parlimen Seputeh itu menerima tekanan ketara dan/atau memalukan daripada masyarakat dan menyebabkan beliau disiasat pihak polis.