PRU tak akan pengaruhi BNM tentukan OPR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pilihan Raya Umum (PRU) tidak akan mempengaruhi keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menentukan sama ada menaikkan, menurunkan atau mengekal Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Menurut Maybank IBG Research, dalam nota penyelidikannya, ia menjelaskan, alasan itu dibuktikan berdasarkan hasil mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM yang diadakan dalam tempoh sekitar tiga PRU yang lalu, sejak OPR menjadi penanda aras kadar faedah BNM pada April 2004.

Ia mengambil contoh, PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 dan sebelum PRU ke-12 diadakan iaitu pada 25 Februari 2008, OPR kekal tidak berubah pada paras 3.50 peratus.

Malah, OPR juga telah berada pada paras itu sejak April 2006 selepas kitaran kenaikan 80 mata asas daripada 2.70 peratus, iaitu kenaikan 30 mata asas kepada 3.00 peratus pada November 2005; +25 mata asas masing-masing kepada 3.25 peratus pada Februari 2006 dan kepada 3.50 peratus pada April 2006.

“Perubahan seterusnya adalah pada November 2008 iaitu pengurangan 25 mata asas kepada 3.25 peratus, yang menandakan permulaan kitaran pelonggaran yang menyaksikan OPR diturunkan kepada 2.00 peratus menjelang Februari 2009 sebagai tindak balas kepada Krisis Kewangan Global (GFC),” katanya seperti dalam laporan Berita Harian.

Sementara itu, Maybank IBG Research berkata, pada PRU ke-13 yang diadakan pada 5 Mei 2013 dan MPC pada 7 Mac 2013, iaitu sebelum PRU itu diadakan telah mengekalkan OPR pada 3.00 peratus. Paras tidak berubah sejak Mei 2011 berikutan normalisasi dasar monetari pasca GFC, yang menyaksikan OPR dinaikkan daripada 2.00 peratus kepada 2.25 peratus pada Mac 2010, 2.50 peratus pada Mei 2010 dan 2.75 peratus pada Julai 2010.

Bagi PRU ke-14 pula yang diadakan pada 9 Mei 2018, sebelum PRU diadakan, MPC pada 7 Mac 2018 telah mengekalkan OPR pada paras 3.25 peratus. Ia tidak berubah sejak Januari 2018 apabila OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.

Untuk makluman, katanya, OPR berada dalam julat 3.00 peratus-3.25 peratus sejak Mei 2011 dan ia berterusan sehingga Disember 2019.

“Secara keseluruhannya, analisis sejarah keputusan OPR MPC BNM dan PRU adalah tidak relevan dengan keadaan semasa, yang mana BNM masih berada di tengah-tengah kitaran kenaikan OPR.

“Pada ketiga-tiga episod di atas yang kita lihat, OPR sudah berada di kemuncaknya selepas kitaran kenaikan yang jauh lebih awal sebelum PRU jadi langsung tiada apa yang boleh disimpulkan,” katanya.

Pada Khamis lalu, BNM menerusi MPC memutuskan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, selepas peningkatan pada Mei dan Julai lalu dengan masing-masing sebanyak 25 mata asas.

Kebanyakan penganalisis menjangkakan OPR akan terus dalam aliran meningkat bagi mengawal peningkatan mendadak harga dalam negara dengan satu lagi kenaikan 25 mata asas November ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,496FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat