#PRNSabah: Diberi kerusi atau tidak, Pas tetap bertanding’

- Advertisement -

SHAH ALAM – Pas mengakui berasa sedih parti itu tidak diberikan laluan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah namun sama ada diberikan kerusi atau tidak, Pas tetap bertanding.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, ini kerana calon-calon dihantar UMNO, Parti Pribumi Bersatu Sabah (Bersatu) dan rakan lain atas nama maslahah ummah sebenarnya turut mewakili Pas.

Beliau berkata, Pas adalah sebuah parti Islam yang lama bertapak di Sabah, menceburi kegiatan dakwah dan siasah serta kegiatan dakwah dipelopori Pas sudah lama bersemarak menunggu ranum buahnya.

Menurutnya, kegiatan siasah yang diusahakan oleh Pas pun semakin meluas, cuma di dalam medan ini cabarannya lebih hebat menyebabkan segala gerak langkahnya perlu berhati-hati.

“Oleh sebab itu, soal bertanding dalam PRN Sabah kali ini adalah secebis daripada kanvas keseluruhan kegiatan Pas di Sabah.

“Sebagai sebuah parti yang berdisiplin, pendukung Pas boleh menerima apa sahaja yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak dan pimpinan utama parti.

“Maka jentera Pas akan turun seratus peratus membantu wakil mereka yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui sudah ada suara-suara yang menyindir Pas tidak dihormati malah ada yang menyebut Pas dikhianati oleh rakan-rakan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.

Menurut Mohd Zuhdi, Parti Amanah Negara (Amanah) antara yang bersorak gembira, menyindir Pas yang dikatakan dipinggirkan di Sabah.

“Mereka menyatakan, walaupun mereka baru ditubuhkan beberapa tahun lalu, mereka tetap diberi laluan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus untuk bertanding di Sabah.

“Bagi mereka yang penting mesti bertanding, walaupun belum tentu kerusi ditandingi menang. Bagi Amanah bertanding kerusi adalah penting untuk menunjukkan mereka wujud di pentas politik Sabah,” katanya – Sinar Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat