KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Nenggiri, Kelantan, Mohd Azizi Abu Naim untuk menghalang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri dari terus dijalankan pada 17 Ogos nanti.
Permohonan Injuksi (penangguhan) PRK sehingga kes permohonan beliau untuk membatalkan pengisytiharan kekosongan luar jangka oleh Speaker Kelantan dibicarakan sepenuhnya ditolak oleh Yang Arif
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain pagi ini.
Beliau memutuskan bahawa undang-undang tidak membenarkan injunksi terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),yang menjalankan fungsi penting dalam proses demokrasi.
Hakim antara lain memutuskan bahawa Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan tanggungjawab perlembagaan untuk menjalankan pilihan raya kecil selepas berlakunya kekosongan luar jangka.
Mahkamah turut berpendapat bahawa atas dasar kepentingan awam, ia tidak sewajarnya menghalang tanggungjawab perlembagaan yang sepatutnya dijalankan oleh institusi yang berkenaan (SPR).
“Plaintif tidak pernah dihalang dari bertanding semula dalam PRK, namun Plaintif memilih untuk tidak menyertainya. Haknya tidak pernah dihalang dalam menyertai proses demokrasi.
Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong, berikutan Bersatu menyatakan bahawa keahlian Azizi sudah terhenti. Hari penamaan calon berlangsung pada 3 Ogos, dan kempen pilihan raya sedang berlangsung.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi menafikan percubaan awal Azizi untuk menghentikan PRK itu, sementara menunggu penyelesaian saman utamanya terhadap Bersatu.