Polis Terima 72 Laporan Penipuan Pakej Haji Visa Furada, Kerugian Hampir RM4 Juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis menerima 72 laporan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian hampir RM4 juta.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tiga agensi berlainan itu membabitkan kes penipuan haji dan umrah furada.

“Kami menerima 72 laporan polis di 10 negeri berkaitan penipuan pakej haji oleh agensi pelancongan terbabit.

“Ia membabitkan 24 laporan di Kuala Lumpur, 14 laporan di Selangor, 13 laporan di Pahang dan masing-masing lima laporan di Johor, Perak, Kelantan manakala tiga di Kedah dan masing-masing satu di Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka daripada 72 laporan polis dibuat mangsa.

“Jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Pahang iaitu RM1.6 juta diikuti Kuala Lumpur (RM1.2 juta) dan Selangor (RM440,000).

“Selain itu, Kelantan dilaporkan mencatatkan kerugian RM209,000; Johor (RM176,000); Perak (RM171,000), Kedah (RM48,000), Terengganu (RM38,000), Pulau Pinang (RM32,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000),” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menahan lima individu termasuk pemilik agensi pelancongan, semalam, yang dipercayai terbabit insiden hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah dipetik berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara kira-kira 9 malam tadi.

Katanya, semua individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA di Sepang.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat