Penduduk Taman Gambang Damai Tuntut Penjelasan Nasib Mereka

- Advertisement -

KUANTAN – Selepas dua tahun berlalu, nasib kira-kira 20 pemilik rumah di Taman Gambang Damai, dekat sini, yang diarahkan berpindah selepas kawasan itu dilanda tanah runtuh masih tidak terbela.

Mereka juga mendakwa runtuhan cerun yang berlaku di kawasan kediaman mereka tidak diperbaiki oleh mana-mana pihak seperti dijanjikan sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Gambang Damai (Desa Hijauan), Norazen Md Dadi berkata, semua pemilik kediaman itu juga terus menunggu berita baik untuk kembali mendiami rumah milik mereka itu.

“Tapi setakat ini belum ada apa-apa maklumat diterima dari pihak bertanggungjawab.

“Kejadian tanah runtuh dah berlalu dekat dua tahun, kerja baik pulih cerun pun macam sudah lama tidak dilakukan.

“Sekarang kami terpaksa menanggung beban, sewa rumah lain dan bayar pinjaman rumah yang kami tidak boleh diami,” katanya.

Dalam kejadian 5 Januari 2021, dua unit rumah musnah manakala empat lagi rosak teruk sementara 20 unit yang disytiharkan tidak selamat dan berisiko untuk terus didiami.

Norazen memaklumkan, tidak ada wakil daripada pihak pemaju, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri Pahang tampil berbincang mengenai nasib mereka.

“Setakat yang saya tahu, hanya enam pemilik iaitu rumah mereka yang musnah dan rosak teruk ditawarkan rumah Prima sebagai ganti rugi oleh pemaju selepas diarahkan kerajaan negeri.

“Bagaimana pula dengan nasib kami (20 pemilik rumah yang lain), dibiarkan dalam keadaan ‘tergantung’ sebab kami tidak tahu apa status rumah kami, boleh (selamat) untuk didiami atau tidak,” katanya lagi.

Dia berkata, jika selamat untuk didiami, mereka mahu ‘hitam putih’ atau kalau belum selamat untuk diduduki, apa pula tindakan selanjutnya oleh pihak berkenaan.

“Kami sedia untuk berjumpa dengan semua pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu ini.

“Masalahnya sekarang, mereka (pihak berkenaan) terus berdiam diri,” katanya.

Mereka juga sedia untuk mengambil tindakan undang-undang, termasuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika perkara ini terus dibiarkan tanpa penyelesaian.

Sementara itu, Roslinda Ahmad Said, 39, berkata, walaupun menerima tawaran rumah Prima daripada pemaju namun dia masih mengharapkan ganti rugi setimpal.

Tambahnya, rumah Prima jauh lebih murah berbanding rumah di kawasan tersebut yang dibelinya.

“Saya masih berharap pemaju dapat memberikan ganti rugi, sekarang saya terpaksa menyewa rumah lain dengan kadar sewa RM500 sebulan, manakala rumah yang rosak itu tetap perlu dibayar setiap bulan sebanyak RM1,400 kepada pihak bank,” katanya.

 

author avatar
Nik Syukri Ramli
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat