DOHA – Pasaran minyak global tidak akan kembali normal sehingga tahun depan melainkan trafik perkapalan di Selat Hormuz disambung semula dalam tempoh sebulan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin Nasser, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Semakin lama gangguan bekalan berterusan, walaupun hanya beberapa minggu lagi, semakin lama masa diperlukan untuk pasaran minyak kembali seimbang dan stabil,” katanya semasa sidang video bagi membincangkan keputusan suku pertama Aramco.
Beliau menambah bahawa krisis itu boleh berlanjutan sehingga 2027 jika kebuntuan di Selat Hormuz berterusan hingga pertengahan Jun.
Menurut ketua syarikat tenaga terbesar dunia itu, pasaran yang telah kehilangan satu bilion tong minyak akibat gangguan pengeluaran atau pengangkutan akan terus kehilangan kira-kira 100 juta tong setiap minggu selagi selat itu kekal ditutup.
Nasser mengingatkan bahawa sebelum ini kira-kira 70 kapal sehari melalui Selat Hormuz.
Serangan terhadap negara pengeluar minyak di Teluk Parsi serta penutupan efektif selat itu oleh Iran, yang menjadi laluan bagi satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, telah memberi kesan negatif terhadap pengeluaran dan eksport.
Sebelum konflik tercetus pada 28 Februari, kira-kira 20 juta tong minyak sehari memasuki pasaran melalui laluan perairan tersebut.
Pada 28 Februari, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, menyebabkan kerosakan serta korban awam.
Pada 7 April, Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu.
Rundingan susulan di Islamabad berakhir tanpa keputusan muktamad, dan Presiden AS, Donald Trump, melanjutkan penghentian permusuhan bagi memberi masa kepada Iran mengemukakan ‘cadangan bersatu’.
Ketegangan yang meningkat hampir menghentikan trafik di Selat Hormuz, laluan utama penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, sekali gus menyebabkan harga bahan api meningkat, lapor Bernama.
Pada 3 Mei, Trump mengumumkan Project Freedom bagi membantu kapal yang terkandas di Selat Hormuz dan ingin keluar dari kawasan itu.
Pada 5 Mei, Trump berkata beliau memutuskan untuk menghentikan sementara operasi tersebut bagi melihat sama ada perjanjian damai dengan Iran boleh dicapai.
Semalam, Trump menyifatkan respons Tehran terhadap cadangan damai AS sebagai sama sekali tidak boleh diterima.



