WASHINGTON — Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan cadangan terbaharu Iran untuk menamatkan konflik di Timur Tengah sebagai “bodoh” dan “tidak boleh diterima”, sekali gus memberi bayangan bahawa gencatan senjata antara kedua-dua pihak kini berada di ambang kegagalan.
Trump berkata gencatan senjata yang sedang berlangsung ketika ini berada dalam keadaan “on life support”, selepas beliau menolak respons Tehran terhadap pelan damai yang dikemukakan Amerika Syarikat menerusi saluran diplomatik Pakistan.
Menurut laporan media antarabangsa, Iran mengemukakan beberapa tuntutan termasuk penamatan sekatan ekonomi AS, pengiktirafan terhadap kedaulatan Tehran di Selat Hormuz serta penghentian serangan melibatkan sekutu Iran di rantau Timur Tengah.
Bagaimanapun, Washington dilaporkan masih berkeras terhadap isu program nuklear Iran dan mahu Tehran membuka semula laluan perdagangan di Selat Hormuz yang menjadi laluan penting eksport minyak dunia.
Jurucakap Kementerian Luar Iran pula mendakwa Amerika Syarikat mengemukakan tuntutan yang “tidak munasabah”, manakala pemimpin tertinggi negara itu memberi amaran bahawa Tehran bersedia bertindak balas terhadap sebarang bentuk “pencerobohan”.
Ketegangan terbaharu itu turut mencetuskan kebimbangan global apabila harga minyak dunia melonjak susulan risiko gangguan di Selat Hormuz, yang merupakan antara laluan perdagangan minyak paling sibuk di dunia



