Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang baharu berkuat kuasa 11 Mei 2026.
KPT dalam kenyataan berkata pelantikan Aminuddin menggantikan Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang telah bersara wajib pada 9 Mei lalu selepas menamatkan khidmat bakti dalam memperkukuh agenda pendidikan tinggi negara.
“Ketibaan beliau di ruang legar KPT dekat sini disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan yang turut memulakan tugas pada hari yang sama, bersama-sama barisan pengurusan tertinggi kementerian.
“Aminuddin kemudiannya mengetik perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasminya sebagai peneraju pentadbiran KPT, ”kata kenyataan itu.
“Beliau yang pernah berkhidmat sebagai KSU KPM sekali gus membawa pengalaman luas dalam memastikan kesinambungan pembangunan bakat negara dari pendidikan asas hingga ke peringkat pendidikan tinggi.
“Pengalaman tersebut amat signifikan dalam memastikan graduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang dilahirkan lebih berkualiti, kompetitif dan memenuhi aspirasi pembangunan negara.
“Selain itu, beliau pernah menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan kelebihan besar dalam merangka hala tuju penyelidikan dan pembangunan universiti serta memperkukuh ekosistem inovasi negara,”katanya.
Katanya lagi, beliau juga pernah menjawat jawatan strategik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sekali gus membuktikan keupayaan kepimpinan rentas sektor yang luas dan berimpak tinggi.
“Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994, Aminuddin pernah berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.
“Dari sudut akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari York University, United Kingdom dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Economics and Environmental Management ) selain Ijazah Sarjana dari University of Warwick serta Ijazah Sarjana Muda dari University of Central England, United Kingdom, ”tambahnya.
Tambahnya lagi, gabungan pengalaman yang dimiliki beliau dalam pendidikan, inovasi, penyelidikan dan pentadbiran awam diyakini mampu menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
KPT memulakan lembaran baharu kepimpinan pentadbiran dengan kehadiran Aminuddin dan optimis kepimpinan beliau akan memacu transformasi pendidikan tinggi negara, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh daya saing Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia di peringkat serantau dan global.-SUARA.TV



