AYER KUNING – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
BN meletakkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, sebagai calon, manakala PN menampilkan Pengerusi PN Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44. PSM pula diwakili Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS, 40.
PRK ini diadakan susulan kekosongan kerusi berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin dari BN, yang meninggal dunia pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang .
Pertandingan ini dijangka menjadi medan penting untuk menguji kekuatan pengaruh parti-parti bertanding, khususnya antara gabungan kerajaan dan pembangkang di Perak.
Bernama