9 ditahan jual mercun, bunga api tanpa lesen di Pahang

- Advertisement -

KUANTAN – Polis Pahang menahan sembilan individu kerana menjual bunga api dan mercun tanpa lesen atau permit di daerah Kuantan dan Pekan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan itu dibuat hasil pemeriksaan dijalankan 40 pegawai dan anggota unit penguatkuasa cawangan lesen ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pahang sejak 28 Mac lalu.

“Pemeriksaan dan tangkapan itu membabitkan lima kes di daerah Kuantan dan empat kes di daerah Pekan.

“Mereka yang ditahan berusia antara 24 hingga 49 tahun dan kita turut merampas mercun dan bunga api bernilai RM13,060,” katanya dalam sidang media pada majlis berbuka puasa bersama ketua polis Pahang Peringkat Zon A di perkarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuantan, petang semalam.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda RM7,000 atau keduanya sekali.

Ramli turut memaklumkan polis Pahang menerima lebih 400 permohonan menjual bunga api dan mercun sejak awal Ramadan.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 340 permohonan diluluskan, 50 ditolak dan 34 lagi masih dalam proses.

“Antara punca permohonan ditolak adalah pemohon gagal (melepasi) tapisan ditetapkan seperti mempunyai rekod jenayah, tiada surat sokongan daripada agensi lain dan lokasi penjualan tidak sesuai.

“Ada juga (permohonan) ditolak kerana melanggar syarat ditetapkan seperti berniaga secara dalam talian dan melebihi had simpanan ditetapkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ramli turut mengingatkan orang ramai bahawa kebenaran menjual mercun dan bunga api bukanlah bermakna ia boleh dijual secara bebas.

Katanya, larangan bermain bunga api dan mercun masih berkuatkuasa dan tertakluk kepada Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

“Cuma kelonggaran diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri melalui kelulusan dasar bagi mengimport, menyimpan dan berniaga bunga api untuk jualan umum sempena (musim) perayaan,” katanya.

Dia turut memberitahu sehingga semalam polis Pahang belum menerima laporan mengenai insiden atau kejadian tidak diingini akibat bermain mercun dan bunga api di negeri ini.

“Setakat ini belum ada insiden seperti di negeri jiran yang kita lihat dan dilaporkan dalam media dan kita harap orang ramai sentiasa berhemah dan berhati-hati ketika bermain mercun dan bunga api.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada orang awam bahawa bermain atau membakar mercun yang dilarang adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih sebulan atau denda sehingga RM100 atau keduanya sekali,” katanya.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat